Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

07.08.2024 | Majlis Sambutan Hari Belia Kebangsaan ke-19, Tahun 2024

sambutan hari belia kebangsaan 2024 p1.png

sambutan hari belia kebangsaan 2024 p2.png

sambutan hari belia kebangsaan 2024 p3.png 

sambutan hari belia kebangsaan 2024 p4.png 

sambutan hari belia kebangsaan 2024 p5.png 

sambutan hari belia kebangsaan 2024 p6.png 

sambutan hari belia kebangsaan 2024 p7.png 

sambutan hari belia kebangsaan 2024 p8.png 

sambutan hari belia kebangsaan 2024 p9.png 

sambutan hari belia kebangsaan 2024 p10.png 

sambutan hari belia kebangsaan 2024 p11.png

Bandar Seri Begawan, Rabu, 2 Safar 1446/7 Ogos 2024 – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Hari Belia Kebangsaan ke-19, tahun 2024 bertempat di Dewan Plenary, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.

Berangkat sama pada majlis sambutan tersebut ialah paduka anakanda dan adinda baginda, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah.

Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berserta kerabat diraja dijunjung oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Nazmi bin Haji Awang Mohamad, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan selaku Pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Hari Belia Kebangsaan ke-19, tahun 2024 dan Ahli-Ahli Jawatankuasa Tertinggi yang lain.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat yang dipimpin oleh Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (DR.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned, Mufti Kerajaan.

Majlis diteruskan dengan sembah alu-aluan oleh Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan.

Seterusnya, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan mengurniakan titah.

Pada majlis itu, diteruskan lagi dengan Ikrar Belia yang dibacakan oleh seramai 50 orang iaitu 25 orang lelaki dan 25 orang perempuan, termasuk 2 orang, Orang Kurang Upaya (OKU). Pasukan Ikrar Belia ini terdiri daripada belia-belia yang mewakili Institut Pengajian Tinggi (IPT), berpersatuan dan berprofesi serta belia yang berprofesion dari sektor kerajaan dan swasta.

Bacaan Ikrar Belia diketuai oleh Yang Mulia Awang Abdul Qawiyyel Azeez bin Haji Abdul Rajid selaku Pembaca Utama yang merupakan Johan Musabaqah Tilawah Al-Quran Belia Kebangsaan 1445/202 serta Yang Mulia Awang Mohd Khairul Hasbullah bin Haji Anuar, Pegawai Tugas-Tugas Khas Tingkat II, Pusat Pekerjaan Brunei, Pejabat Tenaga Manusia dan Yang Mulia Dayang Azrina binti Hidup, Penolong Pengurus Hubungan Antrabangsa dan Kerjasama, Pejabat Pengurusan Strategik, Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei selaku pengiring.

Majlis disusuli dengan tayangan video utama yang memaparkan perjalanan kehidupan belia-belia yang diilhamkan daripada kisah benar yang akan memperlihatkan cabaran, usaha, kejayaan dan kesatuan belia dalam mencapai sesuatu matlamat yang terdiri daripada latar belakang yang berbeza. 7 Ogos 2024 10. Majlis diteruskan dengan persembahan belia yang menampilkan satu inovasi kebudayaan orangorang Brunei iaitu berbalas pantun belia. Persembahan belia ini tidak hanya sebagai wadah untuk mempromosikan seni warisan pantuan melayu, ia juga menekankan nilai nasihat dan kearifan yang dipersembahan melalu-pantun-pantun berkenaan.

Acara kemuncak Sambutan Hari Belia Kebangsaan ke-19, tahun 2024 ini ialah penyampaian Anugerah Hari Belia Kebangsaan ke-19, tahun 2024 dalam 4 kategori iaitu Belia Cemerlang, Belia Berkhidmat, Pemimpin Muda Belia dan Projek Cemerlang Untuk Belia.

Penerima Anugerah Belia Cemerlang 2024, dianugerahkan kepada Yang Mulia Dayang Basma Lachkar menerima wang tunai BND3000, Trofi dan Sijil Penghargaan serta Sebidang Kain Tenunan Brunei iaitu Kain Jong Sarat Bunga Bintang Gemilang dan pakej percutian ke Istanbul, Turkiye sumbangan Balurih Travel Sdn Bhd. Penerima ini merupakan seorang mahasiswi di Universiti Teknologi Brunei dan pelajar pertama yang menerima Skim Biasiswa Khas dalam bidang sukan atas kejayaan beliau dalam akademik dan kesukanan. Pencapaian cemerlang beliau dalam kejohanankejohanan sukan Wushu terutamanya di peringkat antarabangsa telah mengharumkan nama Negara Brunei Darussalam dengan meraih 15 pingat emas, 7 pingat perak dan 6 pingat gangsa. Beliau juga telah mencipta sejarah apabila berjaya meraih pingat perak dalam 19th Asian Games 2022 di Hangzhou, China yang menjadi pingat perak pertama negara sejak penyertaan negara di kejohanan tersebut. Terkini, beliau memenangi satu pingat emas dalam 21st ASEAN University Games dan dua pingat emas semasa 'Asian University Wushu Championships 2024'. Dengan sumbangan beliau yang cemerlang ini beliau telah dikurniakan Pingat Indah Kerja Baik pada tahun 2017; dicalonkan dalam World Athlete of the Year Awards dan turut diberikan penghormatan dengan perasmian 'Basma Drive' terletak di Sekolah Sukan. Sehingga kini, beliau masih lagi aktif secara sukarela membantu lebih 70 orang generasi muda dari Miftah An-Nur Islamic International School dan Jerudong International School untuk bergiat aktif dalam sukan Wushu.

Seterusnya, Penerima Anugerah Belia Berkhidmat 2024, dianugerahkan kepada Yang Mulia Awang Muhammad Haziq Hisyam bin Mohd Zaki menerima wang tunai sebanyak BND3000, Trofi dan Sijil Penghargaan serta Sebidang Kain Tenunan Brunei iaitu Kain Bertabur Bunga Permata Bangsa dan pakej percutian ke Istanbul, Turkiye sumbangan Balurih Travel Sdn Bhd. Penerima ini begitu aktif dalam kerja-kerja kebeliaan, kepimpinan, kesukarelawan, keagamaan dan kemasyarakatan. Selain aktif mengikuti program-program kebeliaan, beliau juga telah melaksanakan pelbagai program dan aktiviti secara persendirian ataupun melalui persatuan dalam upaya beliau melahirkan belia yang progresif. Beliau berjaya melibatkan diri bersama lebih 10,000 orang belia dari pelbagai peringkat umur dan serta latar belakang dan kini, beliau menjadi mentor kepada lebih 300 orang belia. Beliau turut menyandang beberapa jawatan penting dalam persatuan dan Badan Bukan Kerajaan antaranya ialah Persatuan Kemajuan Insan, Majlis Belia Brunei dan Kumpulan Belia Masjid Ash Shaliheen. Berpegang teguh kepada moto 'Kesukarelawan adalah suatu keistimewaan', pelbagai sumbangan masyarakat terus dicurahkan. Sumbangan dan bakti beliau terserlah semasa menjalankan beberapa misi kesukarelawanan, antaranya mengetuai 'Misi Kami Peduli Mangsa Kebakaran Kampung Pandai Besi', 'Misi Kami Peduli Mangsa Banjir di Daerah Tutong', 'Program Indahnya Berbagi' dan menjadi Pengasas Bersama Sukarelawan Belia dalam menangani penularan wabak COVID-19. Keaktifan dan sumbangan beliau ini telah melayakkan beliau menerima beberapa pengiktirafan antaranya 'Kau Inspirasi ku' Award, You Inspire Us All Award, Leading by Example Award, Outstanding Performance for Excellence Commitment & Service dan Most Aspiring Youth.

Manakala, Penerima Anugerah Pemimpin Muda Belia 2024, dianugerahkan kepada Yang Mulia Awang Mohammad Ashmeer Imitiaz Ahmad menerima wang tunai BND3000, Trofi dan Sijil Penghargaan serta Sebidang Kain Tenunan Brunei iaitu Kain Jong Sarat Bunga Kebahagiaan dan pakej percutian ke Istanbul, Turkiye sumbangan Balurih Travel Sdn Bhd. Penerima ini merupakan seorang pemimpin muda yang telah banyak menyumbang bakti dalam kerja-kerja kepimpinan, kebeliaan, kesukarelawan dan kemasyarakatan. Beliau pernah menjawat Yang Di-Pertua Majlis Perwakilan Pelajar Persatuan Mahasiswa Mahasiswi Universiti Brunei Darussalam dengan memimpin seramai 1,000 hingga 2,000 orang mahasiswa dan mahasiswi. Sikap dedikasi kepimpinan beliau ini terserlah semasa negara dilanda penularan wabak COVID-19, ditambah dengan situasi tekanan kekurangan pekerja dan sukarelawan bertugas dalam pengagihan catuan makanan pada ketika itu, membuatkan beliau berani mengambil alih tugas mengetuai, mengendalikan dan menggerakkan pengagihan catuan makanan di Daerah Brunei dan Muara, Daerah Belait dan Daerah Temburong. Beliau telah berjaya membantu menghantar makanan kepada lebih 430,000 orang individu, iaitu lebih daripada 101,000 buah rumah dengan mencapai 2,670 buah rumah sehari. Memegang jawatan selaku Ahli Pasukan Teras dan Mentor di bawah Young Professionals Network, beliau juga telah berjaya memimpin para belia dalam sama-sama membangun belia di negara ini dengan memberikan ruang dan peluang kepada belia-belia untuk berinteraksi bersama pemimpin-pemimpin di peringkat tinggi menerusi platform Youth Town Hall dan Youth Forum Brunei. Sehingga kini, beliau terus aktif selaku pemimpin dalam menjalankan kerja-kerja memberikan khidmat bantuan sukarelawan.

Dan, Penerima Anugerah Projek Cemerlang Untuk Belia, dianugerahkan kepada Lamin Warisan menerima wang tunai BND3500, Trofi serta Sijil Penghargaan. Projek ini diusahakan oleh seorang belia yang mempunyai inspirasi dan komitmen yang tinggi dalam menjaga dan meneruskan warisan budaya negara. Mula dibukakan pada tahun 2019, projek ini diupayakan sebagai sebuah destinasi ekopelancongan yang mempromosikan budaya dan tradisi serta sejarah Puak Tutong. Pelbagai aktiviti ditawarkan dengan menumpukan kepada beberapa aspek, iaitu kebudayaan, bahasa, alam sekitar dan masakan tradisional di samping mempromosikan penggunaan dialek dan bahasa Tutong. Projek ini telah berjaya mewujudkan kerjasama dengan agensi-agensi kerajaan dan swasta termasuk melibatkan penyertaan golongan belia seramai 37 orang dalam pengurusan perkhidmatan dan penyelarasan aktiviti-aktiviti yang ditawarkan. Projek ini telah berjaya menarik minat pelancongan dari dalam dan luar negara. Kecemerlangan projek ini telah melayakkannya menerima pengiktirafan BIMP-EAGA Business Award pada tahun 2023, mewakili negara dalam 'UNWTO's Best Tourism Village' dan tersenarai dalam 'Top-50 regional travel destinations recommendations' semasa 'ASEAN – Korea Tourism Seminar'. Projek ini berjaya membuktikan bahawa bidang seni dan warisan budaya juga mampu dijadikan sebagai salah satu aktiviti keusahawanan yang bukan sahaja menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar negara tapi pada masa yang sama mempertahankan warisan seni dan budaya daripada pupus ditelan zaman.

Seterusnya, Kebawah Duli Yang Maha Mulia berserta kerabat diraja dijunjung berangkat ke Pameran Sambutan Hari Belia Kebangsaan ke-19, tahun 2024 di Ruang Legar, Pusat Persidangan Antarabangsa.

Pameran Hari Belia Kebangsaan 2024 yang akan diadakan selama dua (2) hari iaitu pada hari Rabu, 2 Safar 1446/7 Ogos 2024 hingga hari Khamis, 3 Safar 144/8 Ogos 2024 di Ruang Legar, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.

Konsep sambutan dan pameran ini akan lebih memfokuskan kepada 'Belia Berwawasan' iaitu mempamerkan sumbangan para belia melalui aktiviti-aktiviti persatuan atau pergerakan yang menjurus kepada pengukuhan budaya perpaduan termasuk sumbangan belia secara individu yang mendukung Wawasan Brunei 2035 ke arah membina sebuah negara yang dinamik, makmur dan inklusif yang berkonsepkan kepada Melayu Islam Beraja (MIB), kesukarelawanan, kemasyaratakan dan khidmat bakti belia.

Sebanyak 20 pameran yang akan ikut serta dalam Pameran Hari Belia Kebangsaan 2024 kali ke-19. Pameran Hari Belia Kebangsaan 2024 kali ini dibahagikan kepada 4 kluster iaitu; 

Kluster 1: Ilmu dan Kemahiran mempamerkan serta menonjolkan organisasi-organisasi yang menawarkan pelbagai program dan platform untuk meningkatkan serta menjana kemahiran para belia, khususnya dalam bidang kajian berimpak tinggi, teknovasi, dan industri kreatif. Dengan inisiatif ini, kluster ini bukan sahaja meningkatkan kompetensi belia tetapi juga memperlihatkan kebolehan para cendekiawan muda Brunei yang berpotensi besar dalam menyumbang kepada kebolehpasaran pekerjaan. Hal ini amat penting untuk mendukung Wawasan Negara 2035, kerana ia memastikan bahawa tenaga kerja masa depan adalah berdaya saing dan berkemahiran tinggi, selaras dengan visi negara untuk mencapai kemajuan yang mapan. Teach Me Guru, Upside, Nuqra Quranic Learning Centre Sdn Bhd, Zoha HN Enterprise, Kolej IGS Brunei Darussalam dan Cosmopolitan College telah ikut serta Pameran dalam Kluster Ilmu dan Kemahiran. 

Kluster 2: Kualiti Hidup Yang Tinggi Mempromosikan program serta projek belia yang telah berhasil dan berjaya membantu pelbagai lapisan masyarakat, termasuk Orang Kelainan Upaya (OKU). Fokus utama adalah dalam aspek penyediaan perkhidmatan gaya hidup sihat, perlindungan sosial, dan penjagaan alam sekitar. Dengan menonjolkan kejayaan-kejayaan ini, kluster ini bukan sahaja memperlihatkan impak positif yang dicapai tetapi juga menginspirasi generasi muda untuk terus berinovasi dan berbakti kepada masyarakat. Inisiatif-inisiatif ini adalah bukti komitmen belia terhadap pembangunan secara inklusif, sekaligus memperkukuh usaha negara dalam mencapai Wawasan 2035. Ada 5 agensi yang mengikuti Kluster Kualiti Hidup Yang Tinggi iaitu SMARTER, Society for Commuity Outreach and Training (SCOT), Elite Alpha Fitness, Brumi Lestari (SDG Winner Responsible Production) dan Green Space. 

Kluster 3: Pembangunan Mampan Membarigakan sumbangan dan pencapaian belia dalam pertumbuhan ekonomi dan pembangunan mampan, sejajar dengan matlamat ketiga Wawasan 2035 iaitu mewujudkan ekonomi yang dinamik dan berdaya tahan. Inisiatif ini merangkumi pelbagai usaha belia dalam mengurangkan kadar pengangguran di negara ini, serta memacu inovasi dan keusahawanan. Dengan menampilkan kejayaan ini, kluster ini bukan sahaja mengiktiraf peranan penting belia dalam ekonomi negara tetapi juga menggalakkan penyertaan aktif mereka dalam membentuk masa depan yang lebih cerah untuk Negara. Sebanyak 4 agensi yang mengikuti Kluster Pembangunan Mampan iaitu The Green Pearls, Purrfectly Green, Holistic Floodtech dan The Noon BN. 

Kluster 4: Project Cemerlang untuk Belia Mempamerkan tiga (3) Projek serta dua (2) Bekas Pemenang Projek bagi kategori Projek Cemerlang Untuk Belia. Projek yang dipilih merupakan contoh terbaik kreativiti, inovasi dan komitmen para belia dalam membina masyarakat yang lebih inklusif dan progresif. Projek-projek ini mencerminkan dedikasi yang tinggi dalam menyokong Wawasan Brunei 2035 dan mendukung nilai-nilai Melayu Islam Beraja (MIB). Selain itu, dua Bekas Pemenang Projek akan turut dipamerkan untuk menghargai pencapaian mereka yang luar biasa dalam kategori Projek Cemerlang Untuk Belia. Jiwa BN, Yeggoo Pasteurized Eggs, Filem Al-Imam, Fatih Agriculture and Alya Enterprise dan DART Logistic.

Kebawah Duli Yang Mulia juga dijunjung melancarkan Sosial Media Instagram Hab Belia. Platform Instagram Hab Belia merupakan satu inisiatif Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan bagi memberigakan semua aktiviti sektor kebeliaan di bawah KKBS kepada orang ramai khususnya kepada golongan belia untuk mencapai jaringan yang lebih luas dan komprehensif. Ia juga merupakan satu platform untuk menarik lebih banyak penyertaan golongan sasaran terutama belia untuk mengikuti apa jua program kebeliaan di bawah KKBS dan ruang untuk berkomunikasi serta pertukaran idea sesama para belia.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia seterusnya dijunjung bagi menandatangani Lembaran Kenangan dan berkenan menerima pesembah dari Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Hari Belia Kebangsaan ke-19, tahun 2024.

Seterusnya, Kebawah Duli Yang Maha Mulia serta kerabat diraja dijunjung bagi Majlis Santap. Sebelum berangkat meninggalkan majlis, Kebawah Duli Yang Maha Mulia serta kerabat diraja bagi sesi bergambar ramai.

Tema Sambutan Hari Belia Kebangsaan ke-19, tahun 2024 ini adalah dikekalkan seperi tahun 2019, 2020, 2021, 2022 dan 2023, iaitu 'BELIA SIAGA MASA DEPAN'. Tema ini masih lagi relevan dengan situasi dengan penumpuan kepada konsep sambutan iaitu Aspirasi Belia:

a) Belia adalah tonggak utama negara;

b) Mempersiapkan diri belia dengan 'acuan' yang berkualiti tanpa meninggalkan nilai keBruneian;

c) Kesiagaan Belia dalam mewujudkan ekosistem pembangunan belia yang dinamik, mapan dan inklusif;

d) Strategi untuk mempersiapkan belia siaga masa depan merupakan tanggungjawab bersepadu;

e) Mempelajari dan mengamalkan Maqasi Syariah sebagai landasan utama dan membentuk sahsiah;

f) Memanfaatkan teknologi dan kemahiran digital.

Sambutan Hari Belia Kebangsaan diadakan setiap 1 Ogos. Objektif bagi Sambutan Hari Belia Kebangsaan adalah memberikan pengiktirafan dan penghargaan kepada para belia. Ianya juga memberigakan kejayaan para belia di peringkat kebangsaan disamping memartabatkan belia-belia di seluruh negara. Memberikan peluang kepada belia-belia berinteraksi dan bertukar-tukar pandangan dan juga mengeratkan silaturrahim dikalangan komuniti belia.​

Attachments
Created at 8/8/2024 8:10 AM by Roslinawati Binti Jamaludin
Last modified at 8/8/2024 2:19 PM by Roslinawati Binti Jamaludin