Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

27.05.2023 | Majlis Penyerahan Bendera Negara Kepada Kontinjen Negara Brunei Darussalam Ke Sukan Para ASEAN Ke-12, Kemboja 2023

ND5_1859.jpg

ND5_1891.jpg 

ND5_1922.jpg 

ND5_1927.jpg 

ND5_1951.jpg 

ND5_1964.jpg

BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 7 Zulkaedah 1444H/27 Mei 2023M. – Negara Brunei Darussalam akan menghantar kontinjen bagi menyertai Sukan Para ASEAN Ke-12, Kemboja 2023 yang akan diadakan secara rasminya bermula pada 3 hingga 9 Jun 2023.

Kontinjen Negara Brunei Darussalam dianggotai seramai 23 orang terdiri daripada 12 orang atlet dan 11 orang pegawai termasuk Chef de Mission, ketua urus setia, pegawai urus setia, pegawai perhubungan, fisioterapi, jurulatih dan penolong jurulatih.

Sehubungan dengan itu, Majlis Penyerahan Bendera Negara Kepada Kontinjen Negara Brunei Darussalam Ke Sukan Para ASEAN Ke-12, Kemboja 2023 telah diadakan bertempat di Dewan Digadong, Bangunan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.

Hadir menyempurnakan penyerahan bendera negara tersebut ialah Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Nazmi bin Haji Mohamad, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan selaku tetamu kehormat.

Aturcara majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh Yang Mulia Awang Muhammad Nabil bin Haji Roslan, Pembantu Perkembangan Ugama, Pusat Pembangunan Belia dan diikuti dengan ucapan alu-aluan oleh Yang Mulia Pengiran Mohammad Amirrizal bin Pengiran Haji Mahmud, Setiausaha Tetap (Kesukanan) Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan selaku Pengerusi Majlis. Majlis diteruskan dengan ucapan daripada tetamu kehormat dan diselajurkan dengan penyerahan bendera Negara Brunei Darussalam oleh tetamu kehormat kepada Yang Mulia Awang Haji Ali Yusri bin Haji Abdul Ghafor selaku Chef de Mission Kontinjen Negara Brunei Darussalam ke Sukan Para ASEAN Ke-12, Kemboja 2023. Sebelum majlis berakhir, Doa Selamat telah dibacakan oleh Yang Mulia Awang Muhammad Nabil bin Haji Roslan dan diakhiri dengan sesi bergambar ramai bersama tetamu kehormat.

Turut hadir dimajlis berkenaan ialah Tuan Yang Terutama Lim Hokseng, Duta Besar Istimewa dan Mutlak Kemboja ke Negara Brunei Darussalam; Yang Mulia Pengiran Mohammad Amirrizal bin Pengiran Haji Mahmud, Setiausaha Tetap (Kesukanan) Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS); Yang Mulia Pengiran Haji Mohd Hasnan bin Pengiran Haji Ali Hassan, Setiausaha Tetap (Kebudayaan) KKBS; Yang Mulia Haji Zakaria bin Haji Serudin, Setiausaha Tetap (Kebeliaan) KKBS; Yang Mulia Dayang Hajah Norashikin binti Haji Johari, Setiausaha Tetap (Kemasyarakatan) KKBS; ahli-ahli Jawatankuasa Tertinggi Pemilihan dan Penilaian Atlet Kebangsaan; Persatuan-Persatuan Sukan Kebangsaan; serta para ibu-bapa dan penjaga.

Edisi Sukan Para ASEAN kali ini, Negara Brunei Darussalam akan menyertai sebanyak 3 acara sukan daripada 12 sukan yang dipertandingkan iaitu Olahraga, Badminton dan Renang.

Negara Brunei Darussalam mula mengikuti Sukan Para ASEAN pada tahun 2001. Hingga ke hari ini negara telah berjaya memperolehi 37 pingat emas, 41 pingat perak dan 58 pingat gangsa secara keseluruhan, di mana pencapaian terbaik negara ialah pada tahun 2009 di Kuala Lumpur, Malaysia dengan meraih 9 pingat emas, 5 pingat perak dan 7 pingat gangsa. Kali terakhir Negara Brunei Darussalam menyertai Sukan Para ASEAN ialah pada tahun 2022 di Solo, Indonesia dengan memperolehi 1 pingat emas, 1 pingat perak dan 3 pingat gangsa.

Kontinjen negara dijangka bertolak ke Kemboja pada hari Rabu, 31 Mei 2023. ​

Attachments
Created at 5/30/2023 9:16 AM by Info Jabatan Belia Dan Sukan
Last modified at 7/8/2023 3:42 PM by Info Jabatan Belia Dan Sukan