![JBS1.jpg](/PublishingImages/Lists/News/AllItems/JBS1.jpg)
![JBS3.jpg](/PublishingImages/Lists/News/AllItems/JBS3.jpg)
BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 11 Rabiulakhir 1444H/6 November 2022M. - Bersempena dengan Sambutan Hari Perkhidmatan Awam (HPA) Ke-29 pada tahun ini, Jabatan Perkhidmatan Awam dengan kerjasama Jabatan Belia dan Sukan dan Pejabat Suruhanjaya Perkhidmatan Awam, hari ini, menganjurkan acara Riadah Amal HPA.
Acara yang diadakan di Taman Haji Sir Muda Omar 'Ali Saifuddien, di sini dimulakan dengan sesi pemanasan badan.
Kemudian acara diikuti dengan pelepasan Aktiviti Berbasikal Sejauh 10 Kilometer, Aktiviti Walkathon Sejauh 2.5km bagi peserta lelaki dan Aktiviti Walkaton Sejauh 1.6km bagi peserta perempuan.
Hadir merasmikan acara berkenaan dan melepaskan Aktiviti Berbasikal dan Aktiviti Walkaton Lelaki ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof selaku Pengerusi Bersama Jawatankuasa Tertinggi Sambutan HPA Ke-29.
Sementara itu, pelepasan bagi Aktiviti Walkaton Wanita disempurnakan oleh isteri Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang Mohammed Riza bin Dato Paduka Haji Mohammed Yunos, Datin Hajah Zubaidah binti Haji Mahmud.
Riadah Amal yang mengumpulkan lebih 1,000 peserta itu bermula dan berakhir di Taman Haji Sir Muda Omar 'Ali Saifuddien.
Turut hadir, Menteri-menteri Kabinet, Timbalan-timbalan Menteri, Setiausaha- setiausaha Tetap, Timbalan-timbalan Setiausaha Tetap, ketua-ketua jabatan, pegawai-pegawai kanan, pegawai dan kakitangan kerajaan.