Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

23.02.2021 | Majlis Penutup Bagi Peserta Program Belia Cinta Tanah Air Kali Ke-16, 2021

SERASA, Selasa, 23 Februari. – Seramai 39 orang belia dari keempat-empat daerah telah menyertai dan menamatkan Program Belia Cinta Tanah Air (PBCTA) Kali Ke-16 Tahun 2021 Sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Ke-37 Tahun 2021 dan diraikan dalam Majlis Penutup PBCTA di Kompleks Sukan Air Serasa.

Hadir menyempurnakan majlis tersebut ialah Yang Mulia Pengiran Mohammad Amirrizal bin Pengiran Haji Mahmud, Setiausaha Tetap (Pentadbiran, Kewangan dan Estet) Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan selaku tetamu kehormat.

Aturcara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat dipimpin oleh Yang Mulia Awang Muhammad Alif Ikhwan bin Haji Md. Said, diikuti dengan ucapan alu-aluan daripada Yang Mulia Dayang Mariam binti Ulat, Pemangku Pengarah Belia dan Sukan selaku Pengerusi PBCTA dan ucapan daripada Yang Mulia Muhd Nazib bin Haji Lamat dan Nurhasnina binti Sambong selaku wakil peserta PBCTA.

Majlis diteruskan dengan tayangan video PBCTA dan persembahan daripada peserta PBCTA. Majlis turut diselajurkan dengan penyampaian sijil penyertaan dan penghargaan kepada para peserta PBCTA yang disempurnakan oleh tetamu kehormat majlis. Beliau turut menyampaikan sijil penghargaan kepada peserta lelaki contoh iaitu Yang Mulia Awang Mohammad Nazib bin Haji Lamat dan peserta perempuan contoh iaitu Yang Mulia Dayang Nurhasnina binti Sambong.

PBCTA merupakan anjuran bersama Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Kementerian Pendidikan dan Persatuan dan Pergerakan Belia.

Program telah bermula pada 18 Februari yang lalu dan ianya dijalankan dalam beberapa aktiviti seperti mengikuti Leadership Skill dan Team Formation; Calak Brunei: Membina Belia Cemerlang; membuat lawatan-lawatan ke Pusat Kegiatan Warga Emas (PKWE), Dewan Bahasa dan Pustaka, Pusat Sejarah Brunei dan sebagainya; Mengatam Padi Bersama Peladang Muda di Ladang Padi Wasan; Menyertai Majlis Kesyukuran Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Ke-37 dan Mengikuti Upacara Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Ke-37 Tahun 2021 selaku Pasukan Pengibar Bendera dan sebagainya.

Objektif PBCTA ini diadakan adalah untuk meningkatkan semangat kenegaraan dan kekitaan ke arah meningkatkan lagi semangat patriotik para belia melalui aktiviti-aktiviti disediakan di samping menyuntik semangat para belia untuk bergiat aktif dalam aktiviti-aktiviti pembangunan belia seperti kepimpinan, kemasyarakatan, kesukarelawanan, keugamaan dan kesukanan serta menyemarakkan semangat setia kawan, bergotong-royong dan saling bantu membantu di antara satu sama lain.

Program ini terus dilaksanakan dengan harapan melahirkan lebih ramai lagi belia yang berjiwa patriotik, cinta kepada negara, berwawasan dan menghargai keperibadian bangsa. Selain daripada itu, diharap program ini dapat dijadikan satu mekanisme dalam membimbing para belia untuk melaksanakan kegiatan-kegiatan yang bersifat kenegaraan dan kemasyarakatan dengan harapan dapat memberi impak patriotik dikalangan belia dan sekaligus meningkatkan lagi semangat patriotik serta membangun keluhuran jasmani dan rohani supaya menjadi lebih tabah dan serta berfikiran terbuka dalam menghadapi apa jua cabaran ke arah melahirkan generasi belia berwawasan.

ND5_7897.jpg

ND5_7910.jpg

ND5_7922.jpg

ND5_7955.jpg

ND5_7969.jpg

ND5_7980.jpg

Attachments
Created at 3/29/2021 2:40 PM by Hj Muhammad Syazwan Bin Hj Abd Jalil
Last modified at 4/15/2021 1:44 PM by Susieyanti Hamdi