Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

01.12.2020 | Majlis Pelancaran Buku Dasar Belia Negara Dan Strategi 2020-2035 dan Buku Garis Panduan Sukarelawan

Bandar Seri Begawan, Selasa, 01 Disember 2020 – Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) telah mengadakan Majlis Pelancaran Buku Dasar Belia Negara dan Strategi 2020-2035 dan Buku Garis Panduan Sukarelawan di Dewan Silaturrahim, Pusat Belia, Bandar Seri Begawan.

Dasar Belia Negara dan Strategi 2020–2035 (DBNS 2020-2035) adalah merupakan semakan semula dan pengemaskinian dari Dasar Belia Negara yang telah diterbitkan pada tahun 2002.  Seiring dengan perkembangan dunia masa kini, Dasar Belia Negara dan Strategi 2020–2035 ini adalah sebuah living document yang telah dan akan terus disesuaikan dengan kehendak dan persekitaran semasa yang menuntut para belia negara ini bersiap siaga dalam merealisasikan matlamat negara khususnya dalam menjayakan Wawasan Brunei 2035.

DBNS 2020-2035 menerangkan dengan lebih jelas wawasan belia, matlamat dasar belia, strategi dan inisiatif-inisiatif dasar yang menghuraikan mekanisme dan peta jalan dalam melaksanakan dasar tersebut.   Pembaikan dasar belia ini juga mengambil kira banyak perkara termasuk cabaran belia di peringkat global, tuntutan sosial, perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi yang semakin canggih dan berleluasa.

DBNS 2020-2035 dirangka secara holistik dan inklusif terutama dalam menangani isu-isu kebeliaan dan dalam persediaan menghadapi gelombang revolusi yang tidak dapat dijangkakan. Beberapa strategi, inisiatif dan program yang dirancang juga turut dimuatkan bagi membentuk golongan belia yang berdaya saing, berkredibiliti, dinamik dan progresif. Inilah pendekatan Whole of Nation yang turut mengambilkira dan berpandukan kepada dasar dan pelan strategik di peringkat negara termasuk Wawasan Brunei 2035; Pelan Induk Ekonomi Digital 2025; Dasar Kebangsaan Perubahan Iklim Negara Brunei Darussalam; Pelan-Pelan Tindakan di bawah Majlis Kebangsaan Isu Sosial; Pelan Strategik Manpower and Employment Council (MPEC); dan Majlis Tertinggi Melayu Islam Beraja.

Manakala Garis Panduan Sukarelawan bertujuan untuk memberikan panduan yang lebih komprehensif kepada para sukarelawan dan agensi-agensi pelaksanaan di Negara Brunei Darussalam dan menerangkan hak serta keistimewaan para sukarelawan yang menyertai mana-mana aktiviti dan kerja sukarela.  Di samping itu, garis panduan ini juga bertujuan untuk menjadi rujukan kepada agensi-agensi pelaksana dalam menganjurkan aktiviti dan kerja sukarela di Negara Brunei Darussalam.

Majlis pada hari ini telah dilancarkan oleh Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan selaku tetamu kehormat majlis. 

Atur cara majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat dipimpin oleh Yang Mulia Awang Muhammad Khaizuran Amali bin Haji Kamsani, Pembantu Perkembangan Ugama, diikuti dengan ucapan alu-aluan oleh Yang Mulia Pengiran Mohammad Amirrizal bin Pengiran Haji Mahmud, Setiausaha Tetap (Pentadbiran, Kewangan dan Estet), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan selaku Pengerusi Jawatankuasa Majlis dan diteruskan dengan ucapan daripada tetamu kehormat majlis. Tetamu Kehormat Majlis kemudian telah menyempurnakan pelancaran buku Dasar Belia Negara dan Strategi 2020-2035 dan buku Garis Panduan Sukarelawan diselajurkan dengan penyerahan buku-buku kepada Peneraju-Peneraju Utama DBNS 2020-2035 dan Rakan Strategi Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.  Majlis turut menyaksikan tayangan video korporat DBNS 2020-2035.

Turut hadir ialah Ahli-Ahli Jawatankuasa Peneraju DBNS 2020-2035, Rakan Strategi KKBS, Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Setiausaha-Setiausaha Tetap, Timbalan-Timbalan Setiausaha Tetap, Ketua-Ketua Jabatan, Institusi-Institusi Pendidikan, Persatuan dan Pergerakan Belia dan Sektor Swasta.

_ND5_4924.jpg

ND5_4951.jpg

ND5_4985.jpg

DSC_2422.jpg

DSC_2449.jpg

ND5_5023.jpg

ND5_5043.jpg

ND5_5048.jpg

ND5_5062.jpg

ND5_5073.jpg

ND5_5092.jpg

Attachments
Created at 12/2/2020 10:36 PM by Hj Muhammad Syazwan Bin Hj Abd Jalil
Last modified at 12/8/2020 12:13 PM by Susieyanti Hamdi