Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

29.11.2020 | Mendaki Suka Ria dan Kempen Membersihkan Trek Hiking Bukit STKRJ Kampung Katok

BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 29 November. - Malam Minggu Pusat Belia (MMPB) membuka tirainya dengan mengadakan Sukan Ria Mendaki dan Kempen Kebersihan (MMPB Fun Hike and Cleaning Campaign), bertempat di Trek Hiking Bukit Skim Tanah Kurnia Rakyat Jati (STKRJ) Kampung Katok 'B'.

Kempen Kebersihan adalah sebagai D.O.A (Day of Action) 2020 atau Hari Bertindak bersempena Hari Sukarelawan Antarabangsa yang merupakan mandat daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi memberikan peluang kepada para belia bergerak bersama menyumbang kepada perdamaian dan pembangunan negara.

Hadir selaku tetamu kehormat ialah Yang Mulia Kolonel (B) Pengiran Haji Maiddin bin Pengiran Haji Said, Timbalan Setiausaha Tetap (Kebeliaan dan Kesukanan), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.

Terlebih dahulu sebelum acara dimulakan, Pemangku Ketua Kampung Katok 'B', Kapten (B) Pengiran Muhd. Redzuan bin Pengiran Haji Said dalam ucapan alu-aluannya, selaku wakil penduduk kampung berasa teruja atas keprihatinan MMPB dan agensi-agensi yang terlibat dalam memberikan peluang kepada komuniti STKRJ Katok 'B' bagi turut serta membersihkan 'hiking trail' STKRJ Katok 'B', di samping beriadah atau bersukan dalam menjalankan kempen ini.

Katanya, ini adalah antara aktiviti yang boleh dijadikan pemangkin dalam menjinak-jinakkan lagi komuniti di kampung ini dalam penjagaan kesihatan kerana masih ada yang 'belum tergerak hati' untuk mengambil langkah-langkah dalam menjaga kesihatan masing-masing.

Perlu juga diingatkan, tegasnya, sebelum membuat apa-apa aktiviti, keselamatan perlulah dijaga dan memastikan mengikuti langkah-langkah yang telah ditetapkan oleh agensi-agensi tertentu.

''Membersihkan kawasan ini juga boleh dikatakan sebagai langkah bagi menanamkan sifat sivik di dalam diri kita dan sebagai contoh yang baik kepada anak-anak kitani untuk menjaga kebersihan di mana pun mereka berada. InsyaaAllah dengan adanya niat yang tulus, pahala akan dapat kita raih walau di mana pun kita berada,'' ujarnya.

Salah satu objektif MMPB pada kali ini adalah untuk memberikan kesedaran kepada belia-belia dan masyarakat Brunei untuk menjaga kesihatan melalui aktiviti-aktiviti beriadah, seperti 'hiking' yang semakin popular di Brunei, sekali gus menjaga kebersihan alam sekitar di tempat-tempat beriadah tersebut untuk memelihara habitat flora dan fauna ke arah menjamin kesihatan manusia.

Alam sekitar adalah antara tanda kebesaran Allah Subhanahu Wata'ala, di mana manusia mengambil manfaat yang banyak daripada alam sekitar dan memang menjadi tanggungjawab bersama untuk menjaga kebersihan alam sekitar.

Selain itu, dengan kesedaran ini, ia akan dapat menjamin bekalan sumber alam, menstabilkan ekosistem dan menarik banyak pengunjung dengan adanya udara segar yang kita nikmati. Acara ini turut melibatkan sukarelawan daripada MMPB dan komuniti STKRJ Kampung Katok 'B'.

Sebelum ini, MMPB telah membuat beberapa acara kebajikan, seperti Bantuan Kemanusiaan di Kepulauan Mabul D.O.A 2019, terletak di Kepulauan Borneo, acara 'bring back the smile and strength for them' untuk anak-anak kecil yang menghidap barah kanser di bawah D.O.A 2019 dan COVID-19 di bawah Sukarelawan Belia pada tahun ini.

MMPB sekali lagi diberikan peluang untuk mengadakan aktiviti D.O.A 2020, di mana Kampung STKRJ Katok 'B' dijadikan sebagai pilot program MMPB yang julung kalinya bagi acara ini untuk membantu dan membangun komuniti Kampung Katok 'B' ke arah memberikan pendedahan mengenai fungsi dan peranan MMPB, dalam pembangunan komuniti, khususnya para belia.

Acara tersebut juga adalah salah satu kesinambungan usaha bagi membantu komuniti STKRJ Kampung Katok 'B', di mana sebelum ini, MMPB mengadakan Kursus MMPB Awareness on First Aid and MEAD untuk komuniti STKRJ Kampung Katok 'B' yang diadakan pada 7 Ogos lalu.

Dengan adanya platform program yang berkebajikan dan beriadah ini, para belia tidak akan bersikap 'dundung' dan 'camah' mata jika terlihat sampah sarap di kawasan-kawasan riadah.

500_6477.jpg

500_6464.jpg

500_6471.jpg

JBS-watermark.jpg

500_6533.jpg

500_6565.jpg

500_6545.jpg

500_6489.jpg

Attachments
Created at 12/1/2020 10:30 PM by Hj Muhammad Syazwan Bin Hj Abd Jalil
Last modified at 12/9/2020 11:59 AM by Susieyanti Hamdi