Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

23.02.2020 | 42 orang belia PBCTA terima sijil penghargaan

Program Belia Cinta Tanah Air (PBCTA) ternyata mampu melahirkan belia bersemangat kenegaraan ke arah meningkatkan lagi semangat patriot dan seterusnya menzahirkan rasa kecintaan kepada tanah air dan bersyukur menjadi rakyat Negara Brunei Darussalam.

 

Selain itu, program ini telah menyatukan belia dari seluruh negara dengan latar belakang berbeza untuk bersama-sama mempelajari dan menimba pengetahuan mengenai peranan masing-masing terutama sekali dalam mencapai Wawasan Brunei 2035.

 

Perkara tersebut antara yang dikongsikan dalam pembentangan hasil penyertaan program oleh dua wakil peserta PBCTA tahun ini, Mohd. Amani Fikri bin Haji Mohd. Jaffari dan Dayang Hamizahtul Liyana binti Haji Suhaimi pada Majlis Penghargaan yang diadakan di Dewan Riadah, Pusat Belia di ibu negara.

 

Seramai 42 peserta program dari keempat-empat daerah diraikan pada majlis tersebut setelah mengikuti beberapa aktiviti seperti Menyertai Upacara Menaikkan Bendera Besar Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Ke-36 ; Kembara 36 ; Eksplorasi Calak Brunei (perkampungan) ; Menyertai Majlis Kesyukuran Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Ke-36 dan Menyertai Perbarisan Lalu Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Ke-36 Tahun 2020.

 

Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyempurnakan penyampaian sijil penghargaan dan cenderahati kepada para penerima ialah Setiausaha Tetap, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Pengiran Haji Mohd. Hasnan bin Pengiran Haji Ali Hassan.

 

Majlis diserikan dengan persembahan nyanyian lagu "Sumpah Belia" oleh peserta program, dan juga penyampaian cenderahati penghargaan oleh tetamu kehormat kepada Muhd. Qutbul Islam bin Haji Suhaimi dan Dayang Hamizahtul Liyana binti Haji Hamdillah, masing-masing penerima "Peserta Lelaki Contoh" dan "Peserta Perempuan Contoh".

 

Terdahulu, Pemangku Pengarah Belia dan Sukan, Dayang Mariam binti Ulat selaku Pengerusi PBCTA ke-15 dalam ucapan alu-aluannya menyatakan, penyertaan yang menggalakkan dalam program ini membuktikan bahawa PBCTA masih relevan untuk diungkayahkan dan menjadi satu program mekanisme ke arah meningkatkan semangat patriotisme dalam kalangan belia.

 

Dengan susunan pengisian program tersebut, tambahnya, akan dapat mendedahkan kepada peserta belia tentang kepentingan dan kewajipan seorang belia dalam membentuk menjadi seorang yang taat kepada Raja, Ugama dan Negara.

 

PBCTA diperkenalkan pada tahun 2006 dan dikendalikan oleh Jabatan Belia dan Sukan, KKBS, dengan kerjasama Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Kementerian Pendidikan dan Persatuan serta Pergerakan Belia bersempena Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam dengan fokus utamanya ke arah pembangunan belia yang mampan.

 

Peserta PBCTA diharap akan terus kekal aktif dan dinamik dengan menjadi alumni PBCTA selepas ini agar segala ilmu pengetahuan dan pengalaman yang diperolehi melalui program ini akan dapat dipertingkatkan lagi dan mampu mencapai matlamat Wawasan Brunei 2035 sesuai dengan tema sambutan Menjayakan Wawasan Negara.


Sumber : Pelita Brunei

Attachments
Created at 2/25/2020 11:54 AM by Dk Yati Binti Pg Rumbli
Last modified at 2/25/2020 11:54 AM by Dk Yati Binti Pg Rumbli