Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Manage PermissionsManage Permissions
03.02.2020 | Jadikan Pusat Belia bertaraf antarabangsa!

Kesejahteraan golongan belia serta komuniti sekeliling merupakan salah satu tanggungjawab yang dilaksanakan oleh Pusat Belia.

 

Selain inisiatif pembangunan fizikal yang bertujuan untuk meningkatkan tahap sosioekonomi dan kualiti infrastruktur kepada golongan belia dan komuniti sekeliling, langkah-langkah pembangunan sosial juga perlu diberikan perhatian khusus.


Adalah menjadi harapan Pusat Belia dan Jabatan Belia dan Sukan untuk melahirkan belia-belia yang berjiwa besar, berbudaya, berpengetahuan dan cemerlang selaras dengan mewujudkan persekitaran sebuah Pusat Belia yang bertaraf antarabangsa.

 

Menurut Penolong Penyelia Pusat Belia, Awang Ibrahim bin Haji Sabli ketika ditemu bual oleh Pelita Brunei, Pusat Belia Bandar Seri Begawan sudah pun menjangkau usianya yang ke-50 tahun yang mana pada awal sejarahnya, peletakan batu asas bangunan berkenaan disempurnakan oleh Yang Teramat Mulia Duli Pengiran Muda Mahkota Hassanal Bolkiah pada 27 Ogos 1967.


"Sementara pembukaan rasminya pula sempurna dirasmikan pada 20 Disember 1969 oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam," jelasnya.


Pembinaan Pusat Belia yang letaknya di Jalan Kianggeh itu katanya, adalah semata-mata dihasratkan oleh Kebawah DYMM untuk memberi kemudahan kepada golongan belia bagi mengadakan dan menjalankan aktiviti-aktiviti yang bersesuaian.

 

Pusat tersebut menurutnya, juga dilengkapi dengan asrama tempat tinggal yang pada masa ini sudah pun dinaik taraf dengan pelbagai kemudahan untuk orang ramai termasuk para pelancong dari negara luar.

 

Beliau seterusnya menerangkan penggunaan pusat tersebut pertama kali dibukakan kepada orang ramai sejak 23 Mac 1969 bagi mengadakan aktiviti-aktiviti dalam bidang keugamaan, kebudayaan, ekonomi, sukan termasuk yang pernah dijalankan sebelum ini iaitu Skim Latihan dan Kemajuan Belia Peringkat Pertama yang sekarang ini dikenali dengan Pusat Pembangunan Belia.


Pelbagai kemudahan-kemudahan yang disediakan di pusat tersebut seperti Asrama; Bilik Persidangan; Dance Studio; Share Kitchen; Dewan Riadah; Dewan Silaturrahim; Jamming Studio; Kawasan Letak Kenderaan; Kolam Renang; Bilik Gulingtangan, Ruang Belia Kitani (RBK) dan Surau.

 

Penubuhan pusat ini juga adalah bagi menjunjung dan menyahut titah Kebawah DYMM, yang sering kali menekankan dalam perutusan titah-titah baginda agar golongan belia diberikan perhatian, selain berharap agar agensi-agensi kerajaan lebih giat dalam melaksanakan peranannya sebagai pemudah cara dalam hal membantu dan membimbing aset negara ini.


Hasrat untuk menghidupkan kembali Pusat Belia sebagai pusat pergerakan dan pembangunan belia sukar untuk direalisasikan tanpa sokongan dan penyertaan padu daripada golongan belia dan komuniti sekeliling.


Mereka juga harus melakukan transformasi sikap dan gaya hidup untuk mendukung hasrat bagi menghidupkan Pusat Belia sebagai pusat pergerakan dan pembangunan belia.

 

Semangat menyayangi dan bertanggungjawab kepada persekitaran Pusat Belia ini perlu dipupuk dan dipertingkatkan dari semasa ke semasa ke arah mencapai misi Pusat Belia.

 

Pusat Belia perlu mempertingkatkan imej di mata masyarakat sebagai sebuah organisasi yang mempunyai kewibawaan untuk membuat perubahan yang telah dirancang dan dijalankan.


Berbagai kemudahan sudah dinaik taraf dan sedang dirancang untuk para belia mengikut peredaran masa sekarang.

 

Tinggal belia sahaja lagi untuk mempergunakan serta memperagakan semua kemudahan yang sudah disediakan oleh Kerajaan Kebawah DYMM melalui Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.


Sumber:  Pelita Brunei

Attachments
Created at 2/6/2020 4:26 PM by Izyan Khairunnisa Binti Hj Abu Bakar
Last modified at 2/6/2020 4:26 PM by Izyan Khairunnisa Binti Hj Abu Bakar