Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Manage PermissionsManage Permissions
21.11.2019 | Sentiasa jaga nama baik serta 'image' negara

Sukan Asia Tenggara (Sukan SEA) Ke-30, Filipina 2019 perlu dijadikan sebagai platform utama untuk menilai kemampuan atlet-atlet negara untuk dapat bersaing di peringkat yang lebih tinggi seperti Sukan Olimpik.


Dalam usaha kita ke arah meletakkan sukan-sukan berprestasi tinggi ke landasaan yang kukuh, pihak-pihak yang berwajib atau berkepentingan, iaitu 'stakeholders' perlu menyediakan program pembangunan sukan yang komprehensif, jangka pendek, jangka sederhana dan jangka panjang.


Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Presiden Majlis Olimpik Kebangsaan Negara Brunei Darussalam bersabda demikian pada Majlis Penyerahan Bendera Negara kepada Kontinjen Negara Brunei Darussalam ke Sukan SEA Ke-30, Filipina 2019 berlangsung di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, di sini.


Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah seterusnya bersabda bahawa program perlu dilaksanakan dengan berkesan juga berterusan, kemajuan dipantau dan program dibaik pulih atau disusun semula dari semasa ke semasa.


Menurut sabda Duli Yang Teramat Mulia, Penyerahan Bendera Negara kepada Kontinjen Negara ke Sukan SEA ke-30 di Filipina 2019 mempunyai signifikannya yang tersendiri, iaitu yang pertama, ia merupakan satu amanah, satu harapan tinggi negara dan rakyat yang diletakkan kepada kontinjen negara untuk membawa dan mengibarkan bendera tersebut dengan megah dan bergaya ke pesta sukan serantau yang berprestij ini, sambil memberikan saingan yang sebaik mungkin, dalam acara-acara sukan yang disertai negara, sehingga kepada tahap pencapaian pingat atau 'podium finish', khususnya dalam beberapa acara sukan tertentu, di mana kita meletakkan harapan yang tinggi.

 

''Tanamkan keazaman untuk mengikut jejak langkah olahragawan dan olahragawati negara yang pernah mencipta nama juga mengharumkan nama negara di persada sukan serantau dan antarabangsa. Pada masa yang sama, ahli-ahli kontinjen negara hendaklah sentiasa menjaga nama baik serta 'image' negara selama berada di Sukan SEA nanti sama ada di dalam mahupun di luar gelanggang perlawanan,'' jelas sabda DYTM.


DYTM seterusnya bersabda signifikan kedua adalah satu cabaran, satu sumber aspirasi kepada kontinjen negara, khususnya para atlet, dengan bantuan jurulatih-jurulatih dan pengurus-pengurus yang diberikan kepercayaan untuk berada di medan perlawanan dengan semangat juang yang tinggi, tangkas dan berani, tidak cepat putus asa dan menyerah kalah, malah tetap terus berazam untuk mencipta kejayaan, sehinggalah pertandingan berakhir dan keputusan diumumkan.

 

''Itulah antara ciri-ciri yang perlu dimilik oleh atlet elit sejati untuk mencipta kejayaan dan sekali gus mengharumkan nama negara. Teruskan berusaha dan jangan putus asa. Majlis Olimpik Kebangsaan Negara Brunei Darussalam akan tetap memainkan peranannya dan sentiasa memberikan sokongan dalam penglibatan atlet di peringkat serantau dam antarabangsa,'' tambah sabda DYTM.


DYTM dalam sabdanya penuh percaya para atlet dan jurulatih-jurulatih, pengurus-pengurus pasukan juga tidak ketinggalan pegawai-pegawai urus setia kontinjen telah pun membuat persediaan-persediaan yang rapi dan mencukupi bagi memastikan penyertaan negara ke Sukan SEA kali ini akan lebih berjaya dari beberapa edisi yang terdahulu.


DYTM penuh berharap, peluang yang diberikan ini akan dapat digunakan sebaiknya, sekali gus mampu mempamerkan prestasi yang maksimum di gelanggang Sukan SEA nanti.


Di samping itu, DYTM dalam sabdanya juga sukacita mengingatkan supaya atlet semua akan sentiasa menjaga disiplin masing-masing dan menjauhi bahan-bahan terlarang juga mematuhi, akta dan peraturan 'AntiDoping' yang dikuatkuasakan oleh World AntiDoping Agency (WADA).


Sumber: Pelita Brunei

Attachments
Created at 11/25/2019 11:24 AM by Izyan Khairunnisa Binti Hj Abu Bakar
Last modified at 11/25/2019 6:30 PM by Dk Yati Binti Pg Rumbli