Penglibatan
para atlet bagi menyertai Sukan Asia Tenggara (Sukan SEA) Ke-30,
Filipina 2019 amat penting kerana ia menunjukkan perkembangan sukan kita
yang berterusan dan semangkin meningkat, terutamanya dengan memastikan
kita mempunyai pelapis-pelapis yang akan membawa nama Negara Brunei
Darussalam (NBD) lebih jauh ke hadapan dalam kejohanan-kejohanan kini
dan yang akan datang.
Tidak
dapat dinafikan, bukanlah senang untuk meraih tahap ini kerana ia hanya
dapat dicapai hasil pengorbanan dan pelaburan tenaga intensif yang
diharungi oleh para atlet secara berterusan.
Setiap
atlet yang terlibat membuat persiapan dengan penuh gigih dan semangat
yang utuh, dan sekarang terbukti para atlet berada dalam landasan untuk
meraih kecemerlangan dalam kejohanan nanti.
Demikianlah
yang digariskan dalam ucapan alu-aluan yang disampaikan oleh Menteri
Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato
Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato
Seri Paduka Haji Abidin pada Majlis Penyerahan Bendera Negara kepada
Kontinjen Negara Brunei Darussalam ke Sukan SEA Ke-30, Filipina 2019, di
Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, di sini.
Yang
Berhormat mengingatkan para atlet hendaklah berasa bangga kerana
pemilihan setiap atlet di sini adalah berdasarkan tahap kemahiran,
profesionalisme dan komitmen tinggi yang terbaik di antara yang terbaik.
''Keraihan
pingat bukannya satu perkara yang tidak dapat dikecapi. Setiap atlet
kita memang berupaya untuk bertanding dengan atlet-atlet lain, dan kita
amatlah yakin atlet kita akan mengibarkan bendera NBD dengan penuh
kemegahan,'' tegasnya.
Apa
yang paling mustahak, ujar Yang Berhormat, ialah keyakinan yang tinggi
ke arah mencapai kejayaan tersebut yang disertakan dengan doa dan kita
akan terus memberikan sokongan dan doa sepanjang para atlet berada di
arena pertandingan.
Menurut
Yang Berhormat, para atlet juga adalah diingatkan bahawa harapan negara
ialah para atlet akan beraksi dengan cemerlang dan bersungguh-sungguh
demi meraih kemenangan di setiap acara sukan yang disertai, di samping
memperbaiki rekod-rekod kemenangan negara daripada Kejohanan-kejohanan
Sukan SEA sebelum ini.
Pada
masa yang sama, ujarnya, dengan keghairahan kontinjen kita untuk
mencapai kecemerlangan nanti, apa yang turut penting, para atlet
hendaklah sentiasa memiliki tahap disiplin yang tinggi dan semangat
kesukanan yang jitu dan kompetitif, di samping menjaga tatasusila juga
nama baik dan imej NBD.
''Tunjukkanlah
dan banggakanlah bahawa para atlet adalah anak Brunei yang saling
hormat menghormati dengan berpegang teguh kepada Falsafah Melayu Islam
Beraja, di samping berkeupayaan untuk bersaing dengan kompetitif ke arah
mencapai yang terbaik,'' tambahnya.
Yang
Berhormat turut menyembahkan setinggi-setinggi menjunjung kasih di atas
keberangkatan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara
Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah ibni
Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien,
Presiden Majlis Olimpik Kebangsaan Negara Brunei Darussalam untuk
mengurniakan Sabda dan Menyempurnakan Penyerahan Bendera Negara Brunei
Darussalam kepada Chef de Mission yang mencerminkan sokongan dan
dukungan Duli Yang Teramat Mulia yang amat mendalam ke arah kemajuan
sukan di negara ini.
Sumber: Pelita Brunei