Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

25.10.2019 | Enam atlet BDTA sertai Kejohanan Tenis Antarabangsa

Enam atlet tenis mewakili Negara Brunei Darussalam pada Kejohanan Tenis Antarabangsa Kunming yang berlangsung dari 12 Oktober 2019 sehingga 19 Oktober 2019 di Kunming, Republik Rakyat China.

 

Para pemain terdiri daripada Law Vi Yen, Chong Ming Rui, Ben Sii, Harry Kwang, Wesley Lim dan Tan Jia Hui.


Kontinjen diiringi oleh Presiden Persatuan Tenis Negara Brunei Darussalam (BDTA), Pengiran Zahiruddin bin Pengiran Zahari; Ketua Setiausaha BDTA, Mohd. Yusree bin Haji Mohd. Yusainey dan Jurulatih Tenis, Mohammad Aiman bin Abdullah.

 

Sebanyak 11 negara dari seluruh Asia menyertai kejohanan tersebut merangkumi Brunei Darussalam, Republik Rakyat China, Hong Kong - China, Laos, Malaysia, Mongolia, Myanmar, Filipina, Sri Lanka, Thailand dan Timor Leste.

 

Penyertaan negara pada kejohanan tersebut adalah buat pertama kalinya dan kali ini, kontinjen negara menyertai Kategori Beregu Campuran Dewasa dan Kategori Beregu Campuran Junior.


Menurut Presiden BDTA, beliau berasa puas hati dengan penyertaan negara dalam kejohanan tersebut. Dia gembira dapat menyokong atlet negara dan berbangga dengan usaha dan prestasi mereka sepanjang kejohanan itu.


Jurulatih Mohammad Aiman bin Abdullah juga berbangga dengan kerja keras para atlet sepanjang menyertai kejohanan tersebut.

 

Menurutnya, mereka sangat positif sepanjang latihan dan semasa kejohanan, walaupun keadaannya sukar.


Beliau sangat gembira kerana negara berjaya memenangi satu perlawanan dengan mencatatkan keputusan seri satu sama dan berharap akan dapat meningkatkan momentum tersebut untuk kejohanan di masa akan datang.


Penyertaan tersebut bertujuan untuk mendedahkan pemain muda berbakat dalam persekitaran yang kompetitif dengan menentang pemain tenis piawai antarabangsa.


Dengan lebih banyak pengalaman perlawanan di luar negara, para atlet akan dapat meningkatkan prestasi mereka dan juga mengembangkan sukan tenis Negara Brunei Darussalam pada tahun-tahun akan datang.

Attachments
Created at 11/7/2019 11:23 AM by Izyan Khairunnisa Binti Hj Abu Bakar
Last modified at 11/25/2019 6:32 PM by Dk Yati Binti Pg Rumbli