Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

29.10.2019 | Industri kreativiti tempatan semakin menyerlah

'Belia Kitani Arah Aiffa 2019' hasil karya Dayangku Jazmeena Anatasya binti Pengiran Norasmadi menyandang gelaran johan Pertandingan Filem Pendek sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Ke 35, Tahun 2019 pada Majlis Penyampaian Hadiah pertandingan berkenaan yang berlangsung di Dewan Kuliah, Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas.


Naib johan disandang oleh Awang Muhammad Zharif bin Zaini dengan judul filem 'Harapan' dan tempat ketiga dimenangi oleh Dayang Liyana binti Awang Haji Julay dengan tajuk filem 'NASI'.


Johan menerima wang tunai BND2,500 berserta piala dan sijil, naib johan menerima wang tunai BND1,500 berserta piala dan sijil dan pemenang tempat ketiga menerima wang tunai BND1,000 berserta piala dan sijil.


Penyampaian hadiah berserta piala dan sijil tersebut disempurnakan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.


Pertandingan tersebut merupakan satu platform bagi mencanangkan cerita yang berhubung tentang kehidupan, sejarah, budaya, penyelidikan dan informasi yang memaparkan fakta sebenar untuk menggambarkan semangat patriotisme Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam daripada aspek perkembangan dan pembangunan di negara ini sejak mencapai kemerdekaannya.


Ke arah mencapai kecemerlangan, kesejahteraan serta kemakmuran negara berkonsepkan : Keceriaan, Kemeriahan dan Kegembiraan dengan tema 'Menjayakan Wawasan Negara 2035'.

Antara objektif pertandingan ini adalah untuk membuka ruang serta peluang yang lebih luas kepada orang ramai untuk lebih bergiat aktif dalam kreativiti penerbitan filem.


Majlis diselajurkan dengan Kempen Pengagihan Poster Talian ANAK 121 sebanyak 500 keping sebagai usaha Jabatan Pembangunan Masyarakat dengan kerjasama TelBru dan rakan-rakan strategik lain untuk membarigakan talian tersebut bagi meningkatkan kesedaran orang ramai.

Pada majlis itu, penyampaian poster berkenaan disempurnakan oleh tetamu kehormat majlis.


Sumber: Pelita Brunei

Attachments
Created at 11/7/2019 10:38 AM by Izyan Khairunnisa Binti Hj Abu Bakar
Last modified at 11/25/2019 6:30 PM by Dk Yati Binti Pg Rumbli