Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Manage PermissionsManage Permissions
28.09.2019 | Para peserta SBYLEP diraikan

Para peserta Program Pertukaran Kepimpinan Belia Singapura - Brunei (SBYLEP) yang berada di negara ini diraikan dengan Resepsi Makan Malam, dihoskan oleh Setiausaha Tetap (Pentadbiran, Kewangan dan Estet) Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Pengiran Mohammad Amirrizal bin Pengiran Haji Mahmud, di Restoran Aminah Arif, Jerudong.

 

Atur cara Resepsi Makan Malam dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan doa diikuti dengan sesi bergambar ramai para pemimpin belia bersama Pengiran Mohammad Amirrizal.

 

Para peserta bagi Program Pertukaran Belia ini akan berada di negara ini selama tujuh hari, bermula 1 hingga 7 Oktober 2019 dengan tema tahun ini 'Siap Siaga Masa Depan' (Future Ready Youth). 

 

Program Pertukaran Kepimpinan Belia ini bermatlamat untuk melahirkan pemimpin-pemimpin generasi akan datang dan menegaskan peranan para belia dalam mengukuhkan hubungan di antara negara-negara jiran dan bekerjasama untuk masa depan yang lebih cerah.

 

SBYLEP diadakan setiap tahun secara bergilir di antara Negara Brunei Darussalam dan Republik Singapura, yang melibatkan pemimpin-pemimpin muda dari kedua-dua buah negara.

 

Program ini bertujuan untuk memperkukuhkan hubungan dua hala di antara Singapura dan Brunei Darussalam dengan mempromosikan pemahaman juga perpaduan para pemimpin Nextgen dari kedua-dua negara.

 

Selain itu, program juga bertujuan untuk meningkatkan pemahaman dan menghargai dasar, sistem, hubungan negara dan soal serantau; di samping menggalakkan dialog substantif dalam kalangan peserta daripada pelbagai sektor 3P (orang (people), swasta dan awam).

 

Tema untuk SBYLEP Ke-6 adalah "Siap Siaga Masa Depan" (Future Ready Youth), bertujuan untuk mempamerkan peluang dan cabaran yang diperoleh oleh para belia melalui kemajuan teknologi Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0).

 

Di samping itu, tema ini juga membolehkan perkongsian dan penerokaan bagaimana setiap sektor dapat menyumbang kepada negara secara individu dan bersama.

 

Selama berada di Negara Brunei Darussalam, para peserta akan membuat lawatan ke tempat-tempat menarik sambil mengadakan Sesi Perbincangan dan Perkongsian Dialog Substantif bersama Belia daripada Pelbagai Sektor 3P (orang, swasta dan awam).

 

Antara lawatan yang diadakan, Lawatan ke Jabatan Perdana Menteri, diikuti dengan Taklimat mengenai Wawasan Brunei 2035; Lawatan ke DARe dan iCentre untuk Sesi Interaktif bersama Inkubator Usahawan Muda; Lawatan ke Meriuk Farm Stay untuk Sesi Interaktif mengenai 'Peranan Belia dalam Kemampanan Alam Sekitar'; dan ke Universiti Teknologi Brunei untuk Sesi Interaktif mengenai 'Industri Perintis dan Teknologi ke arah IR4'.

 

Para peserta program juga berkesempatan untuk meninjau cara kehidupan dan budaya Kampong Ayer dan mengetahui lebih lanjut mengenai Sejarah Brunei melalui Museum Heritage Trail, Muzium Royal Regalia.

 

Para pemimpin SBYLEP juga akan membuat Lawatan ke Daerah Temburong, yang mana mereka akan dapat berasa keunikan Ulu Temburong National Park yang diberikan gelaran 'Green Jewel of Brunei', salah satu lokasi eko-pelancongan dan pengalaman hutan yang menarik.

 

Adalah dihasratkan Program SBYLEP ini akan terus dapat dipertingkatkan ke arah menghasilkan pemimpin-pemimpin belia yang berwawasan, berdaya saing, dinamik dan berdikari juga mempunyai rangkai jaringan yang berpanjangan ke arah pembangunan belia di Negara Brunei Darussalam dan Republik Singapura.


Sumber: Pelita Brunei

Attachments
Created at 10/2/2019 11:15 AM by Izyan Khairunnisa Binti Hj Abu Bakar
Last modified at 10/2/2019 11:18 AM by Izyan Khairunnisa Binti Hj Abu Bakar