Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

28.09.2019 | Kerja berkumpulan uji ketahanan mental, fizikal

Ke arah mewujudkan kemahiran kepimpinan dan kerja berpasukan yang cemerlang, para peserta Program Perkampungan Sivik Lepasan Ijazah Negara Brunei Darussalam Kali Ketiga bagi tahun 2019 telah menyertai sesi 'Ice Breaking' dan aktiviti kerja berkumpulan (Team Building) yang masing-masing diadakan pada sebelah pagi dan petang di Pusat Belia, di sini.

http://www.pelitabrunei.gov.bn/PublishingImages/BERITA/2019/9%20SEPT/290919/11%20DONE%20ZULIZZI_PERKAMPUNGAN%20SIVIK%20ICE%20BREAKING/02.jpg

Aktiviti dikendalikan oleh Jurulatih dari Outward Bound Brunei Darussalam (OBBD), Awang Abdullah bin Haji Idris serta tiga orang Pegawai OBBD.

Program yang disertai oleh 36 orang peserta terdiri daripada lepasan-lepasan ijazah dari institusi-institusi pengajian tinggi dalam dan luar negara.

Jurulatih OBBD, Awang Abdullah bin Haji Idris ketika ditemui menjelaskan, aktiviti yang diungkayahkan oleh pihak OBBD bagi para peserta menjurus kepada 'Team Building' iaitu menekankan dari segi kepimpinan para peserta, di samping meningkatkan kemahiran berkomunikasi antara mereka.

Menurutnya, aktiviti tersebut diharap dapat membantu para peserta program berfikir secara kritis, menyelesaikan sesuatu masalah dan meningkatkan daya tahan mereka.

Aktiviti Team Building hari ini, tambahnya, dikendalikan oleh seramai empat orang pegawai dari OBBD, di mana kesemua aktiviti bagi para peserta program hanya diadakan di dalam dewan (indoor).

OBBD adalah salah satu agensi kerajaan yang memainkan peranan penting dalam sama-sama menjayakan Wawasan Brunei 2035 melalui strategi jaminan sosial selaras dengan objektif penubuhannya, iaitu untuk membolehkan para belia membina ketahanan fizikal dan kemantapan mental.

Selain itu, ianya juga bertujuan untuk melengkapkan diri dengan sifat-sifat tabah, berani, sabar, berdisiplin, berdikari dan bertanggungjawab serta dapat menyesuaikan diri dengan apa jua keadaan dan cabaran kehidupan.

Pembelajaran-pembelajaran yang ditawarkan oleh OBBD adalah merangkumi pelbagai kegiatan yang mencabar mental dan fizikal bagi melatih kemahiran belia, kepimpinan dan pembangunan diri.


Sumber: Pelita Brunei

Attachments
Created at 10/2/2019 11:01 AM by Izyan Khairunnisa Binti Hj Abu Bakar
Last modified at 10/2/2019 11:05 AM by Izyan Khairunnisa Binti Hj Abu Bakar