Riadah
Berbasikal Keputeraan 2019 akan diadakan pada Ahad, 8 September 2019
yang akan bermula dan berakhir di Taman Haji Sir Muda Omar 'Ali
Saifuddien, di ibu negara.
Kebawah
Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah
Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien
Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei
Darussalam berkenan berangkat bercemar duli menyertai Riadah Berbasikal
Keputeraan tersebut.
Riadah
Berbasikal Keputeraan 2019 dianjurkan sempena dengan Sambutan Ulang
Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda
Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-73, Tahun 2019,
manakala Acara Riadah Berbasikal Keluarga Harmoni dan Belia Kebangsaan
2019 sempena Sambutan Hari Keluarga Kebangsaan Kali Ke-8, Tahun 2019;
dan Sambutan Hari Belia Kebangsaan Kali Ke-14, Tahun 2019.
Setiausaha
Tetap (Pentadbiran, Kewangan dan Estet), Kementerian Kebudayaan, Belia
dan Sukan (KKBS), Pengiran Mohammad Amirrizal bin Pengiran Haji Mahmud
menyatakan perkara tersebut pada Sidang Media, berlangsung di Dewan
Citra, Bangunan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), di sini.
KKBS
dalam penganjuran program ini bekerjasama dengan Kementerian Hal Ehwal
Dalam Negeri; Kementerian Hal Ehwal Ugama; Kementerian Kesihatan; dan
Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi; juga penglibatan semua
kementerian-kementerian lain dan Persekutuan Basikal Brunei Darussalam,
memperlihatkan sukan diberikan pengiktirafan, penghormatan dan
penggalakan yang sama penting dengan sektor sosial yang lain bagi
mencapai matlamat pembangunan negara, perpaduan, dan kestabilan
berterusan, khususnya sukan berbasikal.
Acara
riadah itu jelasnya, diadakan sewaktu Program Bandarku Ceria, yang
lazimnya dimulakan dengan Program Masjidku Makmur, Negara Berkat di
Masjid Omar 'Ali Saifuddien dengan menunaikan Sembahyang Fardu Subuh
Berjemaah dan akan diserikan lagi dengan tazkirah bertajuk 'Budaya Sihat
Cepat Merebak', akan disampaikan oleh Pegawai Pelajaran Kesihatan,
Pusat Promosi Kesihatan, Awang Wajidun Ni'am bin Haji Dollah.
Menurutnya,
Riadah Berbasikal Keputeraan 2019 akan mengelilingi Bandar Seri
Begawan, sejauh 11.50 kilometer dan akan melintasi jalan-jalan utama,
antaranya Jalan Sultan Omar 'Ali Saifuddien, Jalan Kianggeh, Jalan
Sekolah, Jalan Kumbang Pasang, Jalan Perdana Menteri, Jalan Haji Basir,
Jalan Sultan dan berakhir di Taman Haji Sir Muda Omar 'Ali Saifuddien.
Manakala
seramai 73 orang pekayuh basikal akan bertolak lebih awal dan akan
mengelilingi Bandar Seri Begawan sejauh 73 kilometer.
Riadah
Berbasikal Keputeraan 2019 ini terangnya, akan dilaksanakan oleh para
belia, bertujuan bagi memberikan peluang dan kesedaran kepada para belia
dalam aspek kekeluargaan dengan memfokuskan kepada pengukuhan institusi
keluarga juga perubahan 'mindset' lebih positif, yang mana acara itu
nanti, bertema 'Belia Ceria Keluarga Bahagia' dengan pengisian aktiviti
dibahagikan kepada dua zon dan akan dikendalikan oleh agensi kerajaan,
swasta, persatuan-persatuan juga kelab-kelab belia, sukan dan yang
berkaitan, iaitu Zon Kreativiti dan Inovasi; juga Zon Sukan Ria dan
Keluarga.
Sumber : Pelita Brunei