Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

04.09.2019 | Mari meriahkan Riadah Berbasikal Keputeraan 2019, 8 September!

Riadah Berbasikal Keputeraan 2019 akan diadakan pada Ahad, 8 September 2019 yang akan bermula dan berakhir di Taman Haji Sir Muda Omar 'Ali Saifuddien, di ibu negara.

 

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat bercemar duli menyertai Riadah Berbasikal Keputeraan tersebut.

 

Riadah Berbasikal Keputeraan 2019 dianjurkan sempena dengan Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-73, Tahun 2019, manakala Acara Riadah Berbasikal Keluarga Harmoni dan Belia Kebangsaan 2019 sempena Sambutan Hari Keluarga Kebangsaan Kali Ke-8, Tahun 2019; dan Sambutan Hari Belia Kebangsaan Kali Ke-14, Tahun 2019.

 

Setiausaha Tetap (Pentadbiran, Kewangan dan Estet), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Pengiran Mohammad Amirrizal bin Pengiran Haji Mahmud menyatakan perkara tersebut pada Sidang Media, berlangsung di Dewan Citra, Bangunan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), di sini.

 

KKBS dalam penganjuran program ini bekerjasama dengan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri; Kementerian Hal Ehwal Ugama; Kementerian Kesihatan; dan Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi; juga penglibatan semua kementerian-kementerian lain dan Persekutuan Basikal Brunei Darussalam, memperlihatkan sukan diberikan pengiktirafan, penghormatan dan penggalakan yang sama penting dengan sektor sosial yang lain bagi mencapai matlamat pembangunan negara, perpaduan, dan kestabilan berterusan, khususnya sukan berbasikal.

 

Acara riadah itu jelasnya, diadakan sewaktu Program Bandarku Ceria, yang lazimnya dimulakan dengan Program Masjidku Makmur, Negara Berkat di Masjid Omar 'Ali Saifuddien dengan menunaikan Sembahyang Fardu Subuh Berjemaah dan akan diserikan lagi dengan tazkirah bertajuk 'Budaya Sihat Cepat Merebak', akan disampaikan oleh Pegawai Pelajaran Kesihatan, Pusat Promosi Kesihatan, Awang Wajidun Ni'am bin Haji Dollah.

 

Menurutnya, Riadah Berbasikal Keputeraan 2019 akan mengelilingi Bandar Seri Begawan, sejauh 11.50 kilometer dan akan melintasi jalan-jalan utama, antaranya Jalan Sultan Omar 'Ali Saifuddien, Jalan Kianggeh, Jalan Sekolah, Jalan Kumbang Pasang, Jalan Perdana Menteri, Jalan Haji Basir, Jalan Sultan dan berakhir di Taman Haji Sir Muda Omar 'Ali Saifuddien.

 

Manakala seramai 73 orang pekayuh basikal akan bertolak lebih awal dan akan mengelilingi Bandar Seri Begawan sejauh 73 kilometer.

 

Riadah Berbasikal Keputeraan 2019 ini terangnya, akan dilaksanakan oleh para belia, bertujuan bagi memberikan peluang dan kesedaran kepada para belia dalam aspek kekeluargaan dengan memfokuskan kepada pengukuhan institusi keluarga juga perubahan 'mindset' lebih positif, yang mana acara itu nanti, bertema 'Belia Ceria Keluarga Bahagia' dengan pengisian aktiviti dibahagikan kepada dua zon dan akan dikendalikan oleh agensi kerajaan, swasta, persatuan-persatuan juga kelab-kelab belia, sukan dan yang berkaitan, iaitu Zon Kreativiti dan Inovasi; juga Zon Sukan Ria dan Keluarga.


Sumber : Pelita Brunei

Attachments
Created at 9/5/2019 11:48 AM by Dk Yati Binti Pg Rumbli
Last modified at 9/5/2019 11:49 AM by Dk Yati Binti Pg Rumbli