Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

23.08.2019 | Kejohanan Wushu Remaja Asia Ke-10 labuhkan tirai

​Kejohanan Wushu Remaja Asia Ke-10 melabuhkan tirainya dengan Majlis Penutup dan Malam Gala di Hua Ho Manggis Ballroom, di sini.


Majlis Penutup dan Malam Gala diserikan lagi dengan keberangkatan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Presiden Majlis Olimpik Kebangsaan Negara Brunei Darussalam (BDNOC).

 

Keberangkatan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah dijunjung oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri HajiAminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.

 

Berangkat sama ialah Yang Amat Mulia Pengiran Anak 'Aliiyah Amalul Bulqiah binti Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah.

 

Dalam Sembah Penutup, Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, antara lain menyembahkan keberangkatan Duli Yang Teramat Mulia sebagai Penaung Kejohanan Wushu Remaja Asia Ke-10 adalah penghormatan yang besar bagi mereka dan mencerminkan kepimpinan juga dedikasi DYTM yang berterusan kepada Wushu dan pembangunan sukan di Negara Brunei Darussalam.

 

Sembah Yang Berhormat lagi, penglibatan dan kebijaksanaan DYTM sepanjang perancangan juga pelaksanaan keseluruhan kejohanan itu adalah amat bernilai kepada mereka semua dan secara langsung menyumbang kepada kejayaannya.

 

Yang Berhormat seterusnya menambah, sokongan Whole of Nation daripada sektor kerajaan dan swasta, termasuk semua penaja, sukarelawan, keluarga dan semua individu yang terlibat memastikan semua acara pada kejohanan itu dijalankan dengan kualiti tertinggi.

 

Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan seterusnya menyempurnakan penutupan rasmi kejohanan berkenaan.

 

Pada majlis tersebut, DYTM berkenan menyampaikan sijil-sijil penghargaan kepada Naib Presiden Persekutuan Wushu Asia, Mr. Mahdi Alinejad; dan Pengerusi Juri Rayuan, Mr. Jin Xiao Bin selaku wakil bagi pegawai-pegawai teknikal kejohanan.

 

DYTM turut berkenan menerima pesambah daripada Presiden Persatuan Wushu Asia, Mr. Chang Chew Ping.

 

Kejohanan Wushu Remaja Asia Ke-10 kali ini menyaksikan China mengungguli tangga teratas setelah berjaya mengumpul 12 pingat emas dalam Acara Wushu Taolu; diikuti Macau dengan tujuh pingat emas, lapan pingat perak dan tiga pingat gangsa; diikuti Malaysia dengan enam pingat emas, sembilan pingat perak dan lima pingat gangsa.

 

Sementara, dalam Acara Wushu Sanda, China juga menduduki tangga teratas dengan lapan pingat emas, dua pingat perak dan satu pingat gangsa diikuti Iran dengan enam pingat emas, satu pingat perak dan empat pingat gangsa diikuti Viet Nam dengan dua pingat emas, dua pingat perak dan empat pingat gangsa.

 

Kejohanan Wushu Remaja Asia Ke-10 berlangsung pada 19 hingga 24 Ogos 2019, disertai oleh 19 buah negara, iaitu Negara Brunei Darussalam; Republik Raykat China; Chinese Taipei; Filipina; Hong Kong, China; India; Indonesia; Iran; Jepun; Jordan; Kazakhstan; Korea; Kyrgyzstan; Lebanon; Macau, China; Malaysia; Singapura; Sri Lanka; dan Viet Nam dengan penyertaan daripada 265 atlet yang akan bertanding dalam acara Wushu Sanda dan Taolu.

 

Kejohanan dianjurkan oleh Persekutuan Wushu Brunei Darussalam (WUFBD) dan disokong oleh Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.


Sumber : Pelita Brunei

Attachments
Created at 8/24/2019 3:39 PM by Dk Yati Binti Pg Rumbli
Last modified at 8/24/2019 3:39 PM by Dk Yati Binti Pg Rumbli