Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Manage PermissionsManage Permissions
22.08.2019 | Peserta Program Pertukaran Belia diraikan

​Majlis Resepsi bagi meraikan Peserta Program Pertukaran Belia Republik Korea yang merupakan sebahagian daripada Program Pertukaran Belia Dua Hala Negara Brunei Darussalam dan Republik Korea bagi Tahun 2019 diadakan di Bilik VIP, Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas, di sini.

 

Hadir pada majlis tersebut, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin bersama Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Korea ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Yoon Hyun-bong.

 

Rombongan yang terdiri daripada 10 belia dari Republik Korea itu diketuai oleh Pegawai dari Ministry of Gender, Equality and Family, Republik Korea, Mr. Junhong Cho yang berada di negara ini sejak 20 Ogos lalu sehingga program berakhir pada 28 Ogos 2019.

 

Semasa program dijalankan, para peserta berpeluang berinteraksi bersama pelajar-pelajar Pusat Bahagia, Pulaie dan belia-belia tempatan, anjuran Majlis Belia Brunei dan NGO di Dewan Bahasa dan Pustaka, Lambak Kanan juga menyaksikan Kejohanan Wushu Remaja Asia Ke-10.

 

Selain itu, mereka juga membuat Lawatan Sambil Belajar ke Galeri Sukan, Kampung Batu Marang, Pusat Sejarah Brunei, Muzium Alat Kebesaran Diraja, Muzium Teknologi Melayu, Darussalam Enterprise (DARe), iCentre dan menyaksikan kemeriahan Bandarku Ceria, termasuk tinggal bersama keluarga angkat selama dua hari.

 

Program Pertukaran Belia Dua Hala ini, antara lain bertujuan untuk menjalin persahabatan dan persefahaman muhibah dalam kalangan belia-belia kedua buah negara dalam suasana harmoni dan setia kawan melalui interaksi yang sihat, selain dapat berkongsi dan bertukar pandangan juga pengalaman berguna daripada sudut sosioekonomi, sosiopolitik, adat resam dan kebudayaan.

 

Mula dilaksanakan pada tahun 2011, tahun ini merupakan kali ke-9 program itu diadakan, di mana rombongan Negara Brunei Darussalam akan membuat Pertukaran Lawatan ke Republik Korea pada bulan Oktober 2019 nanti.

 

Setakat ini, seramai 80 belia dari Negara Brunei Darussalam dan 90 belia dari Republik Korea menyertai Program Pertukaran Belia Dua Hala Negara Brunei Darussalam dan Republik Korea.


Sumber : Pelita Brunei

Attachments
Created at 8/24/2019 2:47 PM by Dk Yati Binti Pg Rumbli
Last modified at 8/24/2019 2:47 PM by Dk Yati Binti Pg Rumbli