Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Manage PermissionsManage Permissions
22.08.2019 | Kejohanan Wushu Remaja Asia Ke-10 Brunei kutip empat pingat emas

‚ÄčNegara Brunei Darussalam berjaya menambah satu lagi pingat emas pada Kejohanan Wushu Remaja Asia Ke-10 melalui atlet kebangsaan, Basma Lachkar dalam Kategori Girls Tajiquan Youth pada hari keempat kejohanan tersebut yang berlangsung di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, di sini.


Dengan pingat tersebut, Brunei kini memiliki empat pingat emas satu pingat perak dan satu pingat gangsa.


Berangkat menyaksikan kejohanan pada sesi pagi dan seterusnya menyempurnakan hadiah bagi acara Girls Tajiquan Youth ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Presiden Majlis Olimpik Kebangsaan Negara Brunei Darussalam (BDNOC).


Juga berangkat, Yang Amat Mulia Pengiran Anak Aliiyah Amalul Bulqiah binti Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah yang menyempurnakan pengurniaan hadiah bagi Kategori Boys Nanquan Youth.


Sementara penyampaian hadiah bagi Kategori Girls Nanquan Youth disempurnakan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.


Dalam Kategori Girls Tajiquan Youth, Basma Lachkar memenangi pingat emas bersama dengan atlet dari negara Jepun, Hibiki Isono setelah memperoleh kutipan mata sama iaitu 9.48 manakala pingat gangsa disandang oleh atlet dari Chinese Taipei, Shao Yun Lu dengan kutipan mata 9.47.


Manakala atlet dari Macau, China, Loi Chit Cheung berjaya meraih pingat emas dalam Kategori Boys Nanquan Youth setelah memperoleh 9.45 mata diikuti pingat perak yang dimenangi bersama oleh Lok Man Ngan dari Hongkong, China dan Kah Heng Wong dari Malaysia dengan perolehan mata 9.43.


Atlet dari Macau, China, Sam in Wong turut merangkul pingat emas bagi negaranya setelah berjaya mengutip 9.43 mata dalam Kategori Girls Nanquan Youth, diikuti dengan pingat perak diraih oleh Ariyanto Gabrielle Felicia dari Indonesia dengan 9.41 mata dan pingat gangsa diberikan kepada atlet dari India, Rezina Tamang yang meraih kutipan 9.12 mata.


Pada kejohanan sebelah pagi turut menyaksikan tiga kategori lain yang dipertandingkan iaitu Girl's Daoshu Junior, Boy's Daoshu Junior dan Boy's Tajiquan Youth di mana atlet Negara Brunei Darussalam, Walid Lachkar yang menyertai dalam Kategori Boy's Daoshu Junior dan Zheng Yu Hosea Wong dalam Kategori Boy's Tajiquan Youth gagal meraih sebarang pingat.


Sementara itu pada kejohanan sebelah petang pula menyaksikan pertandingan bagi acara Sanda iaitu Junior Girl's 56 Kilogram, Junior Boy's 48 Kilogram dan Junior Boy's 70 Kilogram.


Hadir menyaksikan kejohanan sesi petang dan seterusnya menyempurnakan hadiah bagi Kategori Junior Girl's 56 Kilogram ialah Setiausaha Tetap Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Pengiran Mohammad Amirrizal bin Pengiran Haji Mahmud.


Xiaoyu Zhang dari Republik Rakyat China meraih pingat emas dalam Kategori Junior Girl's 56 Kilogram, manakala pingat perak disandang oleh atlet Iran, Mehrasa Abdollahidehkordi dan pingat gangsa bersama diraih oleh Nitika Bansal dari India dan Thi Ngoc Anh Nguyen dari Viet Nam.


Manakala dalam Kategori Junior Boy's 48 Kilogram, Jiajun Huang juga dari Republik Rakyat China, berjaya meraih pingat emas, diikuti oleh Chien Vu Van dari Viet Nam meraih pingat perak dan pingat gangsa bersama pula disandang oleh Bexultan Koskenov dari Kazakhstan dan Manish dari India.


Gharani Ebrahimi dari Iran pula meraih pingat emas dalam Kategori Junior Boy's 70 Kilogram manakala pingat perak dimenangi oleh Ilkham Gapparov dari Kazakhstan sementara atlet Jordan, Abuzaid Ali dan Atlet Chinese Taipe, E Yun Chen meraih pingat gangsa bersama pada acara tersebut.


Sumber : Pelita Brunei

Attachments
Created at 8/24/2019 12:16 PM by Dk Yati Binti Pg Rumbli
Last modified at 8/24/2019 12:16 PM by Dk Yati Binti Pg Rumbli