Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

19.08.2019 | Kejohanan Wushu Remaja Asia Ke-10 : Skuad Kebangsaan raih dua emas

Skuad Wushu Kebangsaan berjaya meraih dua pingat emas pada Kejohanan Wushu Remaja Asia Ke-10 yang berlangsung di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, di sini.

 

Berangkat bagi menyampaikan pingat-pingat kepada para pemenang ialah Yang Amat Mulia Pengiran Anak Aliiyah Amalul Bulqiah binti Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah.

 

Dalam acara Wushu Taolu bagi Boy's Duel Event Youth, pasangan Majdurano Joel bin Majallah Sain dan Mohammad Safiee Shayferan bin Rosli dari Negara Brunei Darussalam mendapat 9.55 mata, sekali gus meraih pingat emas.

 

Pingat perak pula dimenangi oleh Kwan Ho Kwoh, Yat Sing Leung dan Lok Man Ngan dari Pasukan Hong Kong, China dengan mendapat 9.35 mata; dan Pasukan Chinese Taipei, iaitu Bo Ren Cai, Wen Shenh Huang dan Chang Min Liu mendapat pingat gangsa dengan memperoleh 9.31 mata.

 

Sementara itu, dalam acara Wushu Taolu bagi Girl's Duel Event Youth pula, pasangan Nur Batrisyia Ripin dan Dexuan Ling dari Negara Brunei Darussalam mendapat 9.33 mata, sekali gus meraih pingat emas.

 

Pingat perak pula dimenangi oleh Wing Tung Yim, Po Yan Lau dan Michelle Yeung dari Pasukan Hong Kong, China dengan mendapat 9.30 mata dan pasangan dari Iran, iaitu Fatemeh Jazini Dorcheh dan Monireh Panahi Dorcheh mendapat pingat gangsa dengan memperoleh 9.23 mata.

 

Terdahulu, Majlis Perasmian Kejohanan Wushu Remaja Asia Ke-10 disempurnakan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.

 

Sementara itu, Pengerusi Ahli Jawatankuasa Tertinggi kejohanan tersebut, Dr. Muhd Firdaus bin Abdul Rahman dalam ucapan alu-aluannya, antara lain melahirkan harapan agar kejohanan itu akan dapat mewujudkan hubungan yang terbuka dan mesra di antara satu sama lain, sambil memperkuat hubungan budaya bagi negara-negara yang menyertai kejohanan.

 

Kejohanan Wushu Remaja Asia Ke-10 yang berlangsung pada 19 hingga 24 Ogos 2019 itu, disertai oleh 19 buah negara, iaitu Negara Brunei Darussalam; Republik Raykat China; Hong Kong, China; India; Filipina; Indonesia; Iran; Jepun; Jordan; Kazakhstan; Korea; Kyrgyzstan; Lebanon; Macau, China; Malaysia; Singapura; Sri Lanka; Chinese Taipei; dan Viet Nam dengan penyertaan daripada 265 atlet yang akan bertanding dalam acara Sanda dan Taolu.

 

Kejohanan tersebut dianjurkan oleh Persekutuan Wushu Brunei Darussalam (WUFBD) dan disokong oleh Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.

 

Orang ramai adalah dialu-alukan untuk menyaksikan kejohanan tersebut, pada jam 9.00 pagi hingga 11.30 pagi; 2.30 petang hingga 5.00 petang; dan 7.00 malam hingga 9.00 malam. Masuk adalah percuma sepanjang kejohanan diadakan.


Sumber : Pelita Brunei

Attachments
Created at 8/24/2019 11:37 AM by Dk Yati Binti Pg Rumbli
Last modified at 8/24/2019 11:37 AM by Dk Yati Binti Pg Rumbli