Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

17.08.2019 | Brunei tuan rumah Kejohanan Wushu Remaja Asia Ke-10

​Negara Brunei Darussalam akan menjadi tuan rumah bagi Kejohanan Wushu Remaja Asia Ke-10 bermula 19 hingga 24 Ogos 2019, di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah.

 

Perkara tersebut dinyatakan oleh Pengerusi Ahli Jawatankuasa Tertinggi kejohanan tersebut, Dr. Mohd. Firdaus bin Abdul Rahman semasa Sidang Media, di Dewan Kuliah, Stadium Negara Hassanal Bolkiah, di sini.

 

Pada Sidang Media tersebut, Dr. Mohd. Firdaus juga menjelaskan, para peserta luar ada yang sudah berada di negara ini sejak kelmarin.

 

Sementara majlis pembukaan kejohanan katanya, akan diadakan pada Isnin, iaitu 19 Ogos 2019, bertempat di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas yang akan dihadiri oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin selaku tetamu kehormat.

 

''Brunei akan diwakili oleh seramai 14 atlet negara, terdiri daripada tujuh lelaki dan tujuh perempuan. Sebanyak dua acara akan dipertandingkan, iaitu Acara Taolu dan Acara Sanda yang terbahagi kepada tiga kategori, iaitu Kategori 'A' bagi 18 Tahun Ke Bawah; Kategori 'B' bagi 15 Tahun Ke Bawah; dan Kategori 'C' bagi 12 Tahun Ke Bawah,'' jelasnya.

 

Katanya lagi, sebanyak 365 atlet akan berentap pada kejohanan kali ini dan menampilkan lebih 10 buah negara, iaitu Afganistan, Brunei Darussalam, China, Hong Kong, China, Macau, China, Iraq, Iran, Indonesia, India, Jepun, Jordan, Kazakhstan, Korea, Kyrgzstan, Lubnan, Malaysia, Palestin, Filipina, Singapura, Sri Lanka, Chinese Taipei dan Viet Nam.

 

Sementara itu, Timbalan Pengarah Belia dan Sukan, Dayang Mariam binti Ulat, antara lain menyatakan Brunei akan menyertai dalam satu acara sahaja, iaitu Taolu dan sememangnya berharap atlet negara akan meraih kejayaan, selain dapat mengharumkan nama negara.

 

Kejohanan dibukakan kepada orang ramai dan masuk adalah percuma mulai dari jam 9.00 pagi hingga 10.00 malam.


Sumber : Pelita Brunei

Attachments
Created at 8/19/2019 3:33 PM by Dk Yati Binti Pg Rumbli
Last modified at 8/19/2019 3:33 PM by Dk Yati Binti Pg Rumbli