Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

03.08.2019 | Belia perlu proaktif majukan negara

​Para belia selaku tonggak kepimpinan masa depan negara diseru agar sentiasa proaktif dan terus bersemangat dalam membangun diri sendiri bagi sama-sama mengembangkan negara menuju Wawasan Brunei 2035.


''Sebagai belia kitani hendaklah sentiasa proaktif untuk sentiasa mahu belajar dan membangun diri sendiri supaya dapat menolong orang lain.''

01 pg sali.jpg

Demikian ditekankan oleh penerima Anugerah Pemimpin Muda Belia pada Majlis Sambutan Hari Belia Kebangsaan (HBK) 2019, Pengiran Salimatul Sa'ada binti Pengiran Mohd. Saleh semasa ditemui oleh pihak media pada majlis tersebut.


Beliau turut melahirkan harapan kepada para belia agar mereka terus membina diri sendiri dan sentiasa keluar dari zon selesa supaya dapat membina jati diri dan membuat perubahan dan pembangunan kepada masyarakat dan negara dan mencapai wawasan Negara 2035.


Bertugas sebagai Pegawai Pelajaran di Sekolah Rendah Orang Kaya Besar Imas, Subok, beliau adalah juga merupakan Yang Di-Pertua Persatuan Society For Community Outreach & Training (SCOT) sejak tahun 2016 hingga sekarang.


Melalui Projek 'Penpal Across Borders', beliau berjaya menggabungkan seramai 457 murid secara keseluruhan daripada Negara Brunei Darussalam dan Republik Singapura untuk berkomunikasi melalui e-mel dan poskad.


Dengan mengetuai Projek Assalamualaikum, misi memupuk suasana dan budaya positif dalam membanteras gejala buli bagi Program Eksekutif Muda Kohot Ke-3 telah mendapat sokongan dari pelbagai pihak dan agensi.


Sebagai Yang Di-Pertua SCOT, beliau telah berjaya memimpin dan membimbing Ahli-ahli SCOT untuk mengetuai Projek Utama SCOT seperti Green Exchange; Youth Against Poverty Workshop; Ramadan Charity Drive dan Ummi Bags Project.

02 suzie.jpg

Sementara itu, Dayang Hajah Noor Monasalieana @ Suzie binti Haji Mohd. Salleh yang merupakan penerima Anugerah Belia Cemerlang merupakan seorang usahawan dan pengurus bagi tujuh syarikat tempatan di negara ini dan merupakan Ahli Persatuan Usahawan Muda Brunei (YEAB) sejak tahun 2015.


Beliau sentiasa menerapkan dalam dirinya untuk memegang prinsip supaya tidak mudah putus asa dan rebut apa jua peluang yang ada untuk membina jati diri sendiri, tidak malu untuk bertanya jika ada perkara yang tidak difahami, sentiasa berinteraksi, belajar dan sertai pelbagai program dan rangkaian yang diadakan.

 

Dengan keperibadian daya saing yang tinggi, gigih dan tidak mudah berputus asa, di bawah kepimpinan beliau selaku penggerak Malam Minggu Pusat Belia (MMPB) telah berjaya mengumpulkan belia dengan pengisian tema yang berbeza dengan pencapaian kunjungan tertinggi seramai 3,010 orang pada 3 Julai 2019.


Selain dalam bidang keusahawanan, Dayang Hajah Noor Monasalieana juga tidak ketinggalan membantu dan membela golongan yang memerlukan bantuan dengan menyertai ekspedisi kemanusiaan dalam membantu mangsa-mangsa Palu, Sulawesi, Indonesia yang telah dilanda Gempa Bumi pada tahun 2018.

03 uni.jpg

Bagi penerima Anugerah Belia Berkhidmat iaitu Dayang Dr. Hajah Ummi Fa'izah binti Haji Abdul Rahman, merupakan Pengasas dan Mentor kepada Kumpulan Syababul Iman Masjid Sultan Sharif Ali, Sengkurong sejak tahun 2012.


Dengan memegang kelulusan tertinggi Doktor Falsafah (Dakwah dan Kepimpinan), pada masa ini beliau sedang bertugas di Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) sebagai pensyarah dan penyelaras kokurikulum.


Jelasnya, sepanjang terlibat dalam kesukarelawanan sejak 2012, banyak perkara dan cabaran yang diraih antaranya ialah nikmat yang dirasai apabila dapat membantu orang lain dan melihat mereka gembira.


Selain itu, melalui penglibatan dalam bidang kesukarelawanan ini, ianya dapat memberi inspirasi kepada belia-belia lain bahawa masih banyak yang dapat mereka sumbangkan kepada masyarakat di negara ini sama ada dari segi potensi, tenaga, masa, idea dan sebagainya.


''Bila saya menyertai dalam aktiviti kesukarelawanan ini, ianya sudah menjadi 'passion' atau sesuatu yang saya sukai kerana dalam masa yang sama kitani dapat memberi manfaat kepada orang lain, sebab ada kalanya orang mempunyai masa namun tidak punyai kewangan yang cukup, dan ada pula yang punya masa namun tidak punyai tenaga untuk memberikan bantuan. Jadi memberi kesukarelawanan khidmat masyarakat ini, ia memberikan satu kepuasan kepada diri kita sendiri,'' ujarnya.


Penglibatan aktif beliau dalam menjalankan inisiatif kesukarelawan membantu membangun belia-belia dan masyarakat melaui program antaranya Syabab Prihatin di Aceh, Indonesia; Program 'Zero to Hero', 'Youth Protection'; Bicara An-nisa; Program Journey of A Mu'min dan Brunei Peduli Palestin.


Sementara Projek Dart daripada Dart Logistics Sdn. Bhd., turut terpilih memenangi bagi Anugerah Projek Cemerlang Untuk Belia.

04 dart.jpg

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Dart Logistics Sdn. Bhd., Awang Zul'Amali bin Dato Paduka Haji Idris ketika ditemui menyatakan rasa terharu dan bersyukur kerana tidak menyangka dicalonkan dan terpilih menerima anugerah tersebut.

 

Salah satu cabaran dalam melaksanakan projek tersebut jelasnya, ialah 'public mindset' kerana ianya merupakan sesuatu yang baharu di negara ini dan masih kurang dikenali.


Penubuhan Dart, jelasnya, bukan hanya sebagai penyelesaian dalam pengangkutan awam, malah ingin membantu orang ramai meningkatkan pendapatan mereka, selain menyediakan kemudahan teknologi yang mudah digunakan.


Menyentuh mengenai perancangan masa depan Dart, beliau berhasrat untuk mengembangkan projek berkenaan melangkaui penggunaan kereta termasuk bas dan bot dan apa jua berkaitan dengan logistik dan seterusnya dapat memajukan ekonomi negara.


Beliau berharap melalui projek tersebut, ia dapat memberi inspirasi kepada orang ramai untuk mengejar cita-cita dan tidak berputus asa dalam melaksanakan sesuatu perkara walaupun mengharungi pelbagai cabaran.


Projek Dart menawarkan platform baharu pengangkutan awam dan menawarkan peluang pekerjaan secara sepenuh masa mahupun sampingan. Sejak Dart beroperasi, 120 pemandu telah mendaftar menjadi pemandu Dart dan 60 orang daripadanya tidak bekerja sebelum ini.


Secara purata, pendapatan pemandu Dart sepenuh masa mahupun sampingan boleh mencapai BND1,000 dalam sebulan. Projek ini telah mencatatkan 68 peratus pemandu Dart terdiri daripada golongan belia yang berumur antara 20 hingga 40 tahun.


Inovasi yang diperkenalkan dalam projek ini adalah dengan penggunaan aplikasi yang dimuat turun dalam telefon bimbit sebagai satu evolusi dan platform bagi kemajuan pengangkutan awam di Brunei Darussalam.


Sumber : Pelita Brunei

Attachments
Created at 8/13/2019 4:29 PM by Dk Yati Binti Pg Rumbli
Last modified at 8/14/2019 8:44 AM by Dk Yati Binti Pg Rumbli