Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

03.08.2019 | Anugerah HBK memacu pembangunan belia

Majlis Sambutan Hari Belia Kebangsaan (HBK) Ke-14, 2019 menyaksikan penyampaian Anugerah HBK 2019 kepada empat penerima dalam empat kategori pada majlis yang berlangsung di Dewan Plenari, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.


Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan menyempurnakan penganugerahan tersebut.


Bagi Kategori Anugerah Belia Cemerlang diraih oleh Dayang Hajah Noor Monasalieana @ Suzie binti Haji Mohd Salleh, seorang usahawan dan pengurus bagi tujuh buah syarikat tempatan di negara ini.


Anugerah tersebut adalah sebagai pengiktirafan kepada belia atas jasa yang cemerlang dalam kerja atau usaha-usaha yang ditunjukkan dalam mengangkat nama negara dalam pelbagai bidang dan di peringkat antarabangsa.


Sementara itu, penerima bagi Anugerah Belia Berkhidmat diberikan kepada Dayang Dr. Hajah Ummi Fa'izah binti Haji Abdul Rahman yang merupakan Pengasas dan Mentor kepada Kumpulan Syababul Iman Masjid Sultan Sharif Ali, Sengkurong.


Bagi anugerah kategori ini, diberikan sebagai pengiktirafan dan penghargaan kepada belia yang telah berkhidmat secara berterusan untuk masyarakat di negara ini dalam pelbagai bidang selaras dengan matlamat Wawasan Negara Brunei 2035.


Anugerah Pemimpin Muda Belia pula diterima oleh Pengiran Salimatul Sa'ada binti Pengiran Mohd Saleh, yang bertugas sebagai Pegawai Pelajaran di Sekolah Rendah Orang Kaya Besar Imas, Subok dan merupakan Yang Di-Pertua Persatuan Society For Community Outreach & Training (SCOT).


Anugerah ini adalah sebagai pengiktirafan atas khidmat cemerlang yang telah diberikan oleh pemimpin muda dalam memajukan organisasi atau persatuan yang telah dipimpinnya secara berterusan, menanai dan merealisasikan Wawasan Negara 2035.


Anugerah tersebut merupakan aspirasi dalam melahirkan pemimpin belia yang mandiri, berwibawa dan berwawasan.

 

Projek Dart daripada Dart Logistics Sdn. Bhd., pula memenangi bagi Anugerah Projek Cemerlang Untuk Belia.


Anugerah ini diberikan bagi mengiktiraf projek-projek belia yang berjaya diungkayahkan dalam memacu pembangunan masyarakat belia di pelbagai bidang terutama dalam era peledakan Industri Revolusi 4.0.


Projek-projek yang diungkayahkan adalah satu inovasi pembangunan dan kemajuan selaras dengan aspirasi negara dan era ekonomi digital.


Penilaian turut memfokuskan kepada projek yang berpotensi dalam mewujudkan peluang pekerjaan, berkeupayaan membangun belia negara dan penggunaan teknologi.


Para penerima Anugerah HBK dalam Kategori Belia Cemerlang, Belia Berkhidmat dan Pemimpin Muda Belia masing-masing telah menerima sebuah trofi, kain tenunan, sijil penghargaan dan wang tunai sebanyak BND3,000.


Manakala dalam Kategori Projek Cemerlang Untuk Belia menerima sebuah trofi, sijil penghargaan dan 'seed grant' sebanyak BND3,500.


Sumber : Pelita Brunei

Attachments
Created at 8/13/2019 4:11 PM by Dk Yati Binti Pg Rumbli
Last modified at 8/13/2019 4:11 PM by Dk Yati Binti Pg Rumbli