​Pada
setiap 23 Jun, Negara Brunei Darussalam menyertai seluruh dunia
menyambut Hari Olimpik bagi memperingati kelahiran Hari Olimpik Moden
pada 23 Jun 1894 di Paris.
Hari ini, negara meraikan sambutan tersebut di Dewan Serbaguna, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah.
Berangkat
melancarkan Sambutan Hari Olimpik 2019 ialah Duli Yang Teramat Mulia
Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda
Haji Sufri Bolkiah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien
Sa'adul Khairi Waddien, Presiden Majlis Olimpik Kebangsaan Brunei
Darussalam.
Turut berangkat ialah anakanda Duli Yang Teramat Mulia, Yang Amat Mulia Pengiran Anak Aliiyah Amalul Bulqiah.
Keberangkatan
tiba DYTM dijunjung oleh Naib Presiden Majlis Olimpik Kebangsaan Brunei
Darussalam (BDNOC), Awang Haji Mohd. Zamri bin Dato Paduka Haji Hamdani
selaku Pengerusi Bersama Jawatankuasa Hari Olimpik 2019, berserta ahli
Jawatankuasa Hari Olimpik 2019.
Sambutan
Hari Olimpik 2019 dianjurkan oleh BDNOC dengan kerjasama Jabatan Belia
dan Sukan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan bagi meraikan Hari
Olimpik Sedunia.
DYTM mula-mula berkenan melancarkan Sambutan Hari Olimpik 2019, diikuti dengan sesi senamrobik.
DYTM
kemudian berkenan mengunjungi beberapa pameran sukan dan juga menyertai
beberapa permainan iaitu futsal dan permainan tradisional. Sementara
itu, Yang Amat Mulia pula turut menyertai permainan bola jaring dan
permainan tradisional.
Sejurus
selepas itu, DYTM berkenan menyampaikan pingat kepada peserta
kanak-kanak yang menyertai acara olahraga (kids athletes) dan seterusnya
penyampaian pingat kepada para peserta yang menyertai perlawanan bola
sepak lima sepasukan (futsal.
Turut
menyerikan sambutan tersebut, kehadiran bekas peserta-peserta Olimpik
yang telah menyertai perlawanan sukan Olimpik musim panas.
Antara
perisian Sambutan Hari Olimpik kali ini ialah aktiviti-aktiviti sukan
seperti bola sepak lima sepasukan, olahraga bagi kanak-kanak, hoki, bola
jaring, tekwando dan permainan tradisional.
Sambutan
juga dimeriahkan dengan Pameran 2020 Tokyo Olympic Games yang
dikelolakan oleh Kedutaan Jepun di Negara Brunei Darussalam, Pusat
Perubatan dan Penyelidikan Sukan (SMRC) dan Brunei Darussalam
Anti-Doping Committee.
Sambutan
pada tahun ini diisikan dengan pelbagai kegiatan sukan yang dijadikan
sebagai satu riadah dan amalan cara hidup sihat yang boleh disertai oleh
semua lapisan masyarakat.
Konsep
sambutan sebegini di hasrat akan dapat menzahirkan kesedaran mengenai
pentingnya 'fair play', sukan untuk masyarakat dan sukan untuk
kesihatan. Inilah nilai-nilai utama Olimpik yang perlu dikembangluaskan
pada setiap masa.