Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

16.06.2019 | Belia aktif dalam perniagaan dan perusahaan meningkat

Forum Ketiga Kongres Belia Kebangsaan 2019 bertajuk Keusahawanan mengupas isu-isu dan peluang yang ada bagi melahirkan pengusaha muda yang inovatif dan berdaya tahan.

 

Negara melihat peningkatan daripada kalangan belia yang aktif dalam bidang perniagaan dan perusahaan dan menjadikan bidang keusahawanan sebagai pilihan kerjaya.

 

Namun masih banyak cabaran yang dihadapi oleh pengusaha-pegusaha muda ini terutamanya dalam usaha mereka untuk menceburi bidang perusahaan yang berdaya maju dan dapat menembusi pasaran tempatan dan antarabangsa.

Pada forum ini, para panel terdiri daripada pengusaha-pengusaha muda juga mengongsikan pandangan dan pengalaman mereka.

 

Ahli panel jemputan yang dijemput menjayakan forum ketiga terdiri dari Setiausaha Tetap (Perindustrian), Kementerian Tenaga (Tenaga dan Tenaga Manusia) dan Perindustrian, Pengiran Haji Mohd. Hasnan bin Pengiran Haji Ali Hassan; Pengasas dan Ketua Eksekutif AgromeIQ International Sdn Bhd, Dr. Vanesa Teo; Pengasas dan Ketua Eksekutif QQestore, Gongcha, Pan & Wok dan Bake Culture, Nicky Wong; dan Ketua Eksekutif Dart, Awang Zul Amali bin Dato Paduka Haji Idris.

 

Setiausaha Tetap (Perindustrian), Kementerian Tenaga (Tenaga dan Tenaga Manusia) dan Perindustrian, Pengiran Haji Mohd. Hasnan semasa forum tersebut mengongsikan beberapa usaha pihak Kerajaan dalam memperbaiki dan mengukuhkan lagi ekosistem perniagaan di negara ini.

 

Kementerian Tenaga (Tenaga dan Tenaga Manusia) dan Perindustrian telah menubuhkan satu jawatankuasa pandu 'Ease of Doing Business' yang bertujuan untuk memastikan keadaan dan persekitaran dalam memulakan perniagaan di negara ini adalah mudah.

 

Antara langkah tersebut jelasnya ialah mengurangkan tempoh proses, mengurangkan langkah-langkah dan mengurangkan kos memulakan perniagaan.

 

Menurutnya, ketika ini orang awam boleh membuat pendaftaran secara atas talian, dan ia hanya mengambil masa satu hari untuk mendaftarkan bagi sebuah syarikat berbanding 15 tahun yang lalu yang mengambil masa agak lama untuk diproses.

Dari segi kemudahan yang disediakan oleh pihak Kerajaan pula, bagi pembangunan kapasiti, Darussalam Enterprise (DARe) ditubuhkan bertujuan untuk melatih bagaimana memulakan perniagaan, melaksanakan asas pengurusan kewangan dan asas pengurusan sumber tenaga manusia.

 

Manakala dari segi kemudahan kewangan, Bank Usahawan juga ditubuhkan pada tahun lalu bagi memberikan kemudahan pinjaman kewangan (loan) bagi para Pengusaha Kecil dan Sederhana (PKS).

 

Sementara itu, Pengasas dan Ketua Eksekutif AgromeIQ International Sdn Bhd, Dr Vanesa Teo semasa menjawap mengenai persoalan adakah keusahawanan dan belajar boleh dilaksanakan secara seiring, menjelaskan beliau percaya bahawa keusahawanan itu lahir dalam diri pelajar kerana daripada pembelajaran (learning) seseorang itu dapat mengenalpasti cabaran dan masalah yang hanya kita dapat lihat sendiri.

 

Mengongsikan mengenai perjalanan kariernya dan dahulunya sebagai seorang pelajar, beliau menjelaskan antara cabarannya ialah untuk berkorban, meningkatkan keazaman, sentiasa percaya pada diri sendiri bekerja keras untuk mencapai apa yang kita inginkan dalam hidup.

 

Bagi Pengasas dan Ketua Eksekutif QQestore, Gongcha, Pan & Wok dan Bake Culture, Nicky Wong pula mengongsikan bagaimana beliau bangkit semula selepas menghadapi beberapa kegagalan dalam perusahaannya.

 

Menurutnya, apa yang mustahak ialah bagaimana kita membawa diri kita sendiri selepas mengalami kegagalan tersebut, sama ada kita mahu meneruskannya atau berhenti di sana.

 

Namun bagi beliau, semakin banyak kegagalan yang kita alami, maka ianya akan lebih menguatkan kita untuk terus maju ke hadapan dan membuat lebih banyak lagi.

 

Manakala Ketua Eksekutif Dart, Awang Zul Amali pula menyeru orang ramai agar dapat mengambil contoh dari negara luar serta mempelajarinya untuk diguna pakai satu hari nanti.

 

Jelasnya, semua perkara dapat diubah dan dipertingkatkan. Walaupun ia berbeza, kita hanya perlu mengambil apa yang baik dan laksanakannya di negara kita.

Attachments
Created at 7/6/2019 12:16 PM by Dk Yati Binti Pg Rumbli
Last modified at 7/6/2019 12:29 PM by Dk Yati Binti Pg Rumbli