Lebih 
1,000 beliawanis daripada agensi-agensi kerajaan, persatuan-persatuan 
belia, penuntut-penuntut, bekas peserta-peserta program belia dan orang 
perseorangan menyertai Majlis Perhimpunan Bertadarus Al-Quran Belia 
Senegara bagi Peserta Perempuan Tahun 1440 Hijrah / 2019 Masihi.
Hadir
 selaku tetamu kehormat pada majlis yang berlangsung di Masjid Omar 'Ali
 Saifuddien, di ibu negara, Timbalan Menteri Pendidikan, Yang Mulia 
Datin Seri Paduka Dr. Hajah Romaizah binti Haji Mohd. Salleh.
 
Majlis
 dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Johan 
Qariah Musabaqah Tilawatil Quran Belia Kebangsaan Tahun 1440 Hijrah / 
2019 Masihi, Dayangku Siti Ummi Syazana binti Pengiran Haji Marjuki.
 
Manakala,
 bacaan khatam Al-Quran bermula dari Surah Adh-Dhuha hingga Surah 
Al-Masad dikepalai oleh penuntut Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji 
Hassanal Bolkiah (ITQSHHB), Dayang Ainaa Zahirah binti Haji Abdul Manap,
 diteruskan dengan bacaan Takhtim oleh Kumpulan Pendikir Kolej 
Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB).
 
Sementara
 itu, Doa Khatam dibacakan oleh penuntut ITQSHHB, Dayang Asiah binti 
Haji Ibrahim, diteruskan dengan Dikir Marhaban oleh Kumpulan Pendikir 
KUPU SB.
 
Doa Allah Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam pula dibacakan oleh Dayangku Siti Ummi Syazana.
Majlis
 Perhimpunan Bertadarus Al-Quran Belia Senegara, antara lain bertujuan 
untuk menyemarakkan bulan Ramadan dengan pengisian-pengisian bermanfaat,
 terutama dengan pembacaan Al-Quran, di samping untuk mempertingkatkan 
dan mengukuhkan persefahaman dan kerjasama di antara agensi-agensi yang 
terlibat dalam pembangunan dan tarbiah belia juga menggalakkan 
penglibatan belia dalam aktiviti keagamaan.
 
Penganjuran
 majlis perhimpunan seumpama itu diharap dapat meningkatkan lagi 
penglibatan belia dalam aktiviti keagamaan yang sudah setentunya 
berupaya menjadi benteng buat generasi belia dalam menghadapi 
cabaran-cabaran yang mendatang.
 
Juga
 hadir, Setiausaha Tetap (Pengurusan Dasar dan Strategi), Kementerian 
Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Datin Paduka Dr. Hajah Norlila binti
 Dato Paduka Haji Abdul Jalil; isteri-isteri Setiausaha-setiausaha 
Tetap, Timbalan-timbalan Setiausaha Tetap dan para pegawai juga 
kakitangan KKBS.