Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

25.04.2019 | BELIA SYUMUL SEIMBANG DUNIAWI, UKHAWI

Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) akan terus mempertingkatkan dan mengukuhkan persefahaman juga kerjasama di antara agensi-agensi yang terlibat dalam usaha pembangunan dan wasilah tarbiah belia juga masyarakat dengan mempraktikkan Pendekatan Keseluruhan Negara.

 

Ini adalah selaras dengan hasrat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam titah-titah baginda yang menekankan perlunya belia untuk celik dan berakhlak Al-Quran.

 

Perkara tersebut dinyatakan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin pada Musabaqah Tilawatil Quran Belia Kebangsaan 1440 Hijrah / 2019 Masihi Peringkat Akhir, bertempat di Dewan Digadong, KKBS, di sini.

 

Tambah Yang Berhormat, di sinilah kepentingan golongan belia untuk mempersiapkan diri dan mendalami ilmu Al-Quran, demi memartabatkan kesucian agama Islam juga memastikan maruah bangsa dan Negara Brunei Darussalam yang tercinta ini dipertahankan sebagai sebuah Negara Zikir, iaitu negara Baldatun Thayyibatun Warabbun Ghafur yang berpaksikan kepada ajaran agama Islam yang suci.

 

''Jadikanlah Al-Quran sebagai pedoman, dan lihatlah kepada tokoh-tokoh belia dalam sejarah Islam, khususnya di zaman Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, sebagai teladan dalam mengharungi kehidupan seharian kita,'' saran Yang Berhormat.

 

Terdahulu itu, Yang Berhormat melahirkan rasa bangga terhadap para belia yang menyertai musabaqah tersebut kerana mereka benar-benar mencerminkan hasrat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam untuk sama sekali tidak akan membiarkan setiap generasi yang ada jauh daripada agama, tetapi akan terus konsisten menanam nilai-nilai Islam ke dalam kehidupan mereka.

 

Menurut Yang Berhormat lagi, musabaqah tersebut bermatlamat bukan sahaja untuk bertanding semata-mata, malah ia dilihat sebagai salah satu usaha untuk menyebarkan 'wasilah' Tarbiah Islam dalam kalangan belia-belia.

 

Ia akan menjadi pemangkin bagi menggalakkan belia untuk mendekatkan diri dengan Al-Quran Al-Karim, seterusnya memupuk keperibadian dan akhlak Al-Quran dalam diri mereka.

 

"Pada masa yang sama, kita menyedari bahawa dalam zaman yang serba canggih ini, belia kita sering terdedah kepada pelbagai hambatan dan pengaruh yang sebahagiannya baik mahupun sebaliknya. InsyaaAllah, dengan pegangan yang kukuh dan penghayatan ilmu Al-Quran dan Hadis Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, belia kita tidak akan mudah terbawa dengan unsur-unsur yang kurang baik," ujarnya lagi.

 

Oleh yang demikian katanya, program-program pembangunan belia hendaklah sentiasa menitikberatkan keseimbangan di antara amalan duniawi dan ukhrawi dalam membentuk belia yang syumul, bukan sahaja berilmu dan berkemahiran, malah mempunyai kekuatan iman juga pendirian teguh.

 

Sebagai bakal pewaris kepimpinan masa depan tegasnya, ciri-ciri inilah yang mesti ada dan ditanai oleh belia kita agar mereka mempunyai jati diri yang teguh dengan kepimpinan yang bijaksana dan sentiasa berwawasan, berlandaskan falsafah Melayu Islam Beraja.

 

Attachments
Created at 5/2/2019 3:47 PM by Dk Yati Binti Pg Rumbli
Last modified at 5/2/2019 3:47 PM by Dk Yati Binti Pg Rumbli