​Awang
Abdull Muin bin Haji Abdul Hamid dan Dayangku Siti Ummi Syazana binti
Pengiran Marjuki masing-masing muncul johan qari dan johan qariah
Musabaqah Tilawatil Quran Belia Kebangsaan 1440 Hijrah / 2019 Masihi
Peringkat Akhir.
Pada
pertandingan yang berlangsung di Dewan Digadong, Kementerian
Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), di sini, johan qari dan qariah
membawa pulang piala pusingan, piala iringan, wang tunai BND2,000 dan
sijil penyertaan.
Sementara
naib johan qari dan qariah masing-masing dijuarai oleh Awang Muhammad
Sa'dun bin Suhaili dan Dayangku Fauziah Nadhirah binti Pengiran Haji
Jofri dengan menerima hadiah piala iringan, wang tunai BND1,500 dan
sijil penyertaan.
Di
tempat ketiga qari dan qariah pula jatuh kepada Awang Abdul Qawiyeel
Azeez bin Haji Abd. Rajid dan Dayangku Alma Hazirah binti Pengiran Haji
Jofri, masing-masing membawa pulang piala iringan, wang tunai BND1,000
dan sijil penyertaan.
Hadir
selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyampaikan hadiah-hadiah kepada
para pemenang, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat
Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang
Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.
Juga
hadir, Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji
Bahrom bin Pengiran Haji Bahar; Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara;
Setiausaha-setiausaha Tetap KKBS dan Kementerian Hal Ehwal Ugama; dan
pegawai-pegawai kanan KKBS.
Pertandingan
tahun ini menunjukkan peningkatan penyertaan sebanyak 22 peratus, di
mana seramai 105 peserta belia qari dan qariah dari seluruh negara
menyertai pertandingan tahun ini berbanding 86 peserta pada tahun lalu.
Musabaqah
Tilawatil Quran Belia Kebangsaan merupakan program anjuran KKBS yang
mula dilaksanakan sejak tahun 1980-an dan berjaya melahirkan banyak qari
dan qariah belia yang berkaliber, seterusnya mampu bersaing di
peringkat lebih tinggi.
Di
samping itu, musabaqah juga berperanan sebagai wadah kepada qari dan
qariah belia di negara ini untuk melihat keupayaan juga prestasi
masing-masing, khususnya dalam bidang pembacaan Al-Quran secara berlagu
atau taranum.
Selain
untuk menyediakan wadah bagi melahirkan qari dan qariah belia
berpotensi tinggi sebagai pelapis qari dan qariah negara, musabaqah juga
diadakan untuk mempertingkatkan mutu pembacaan Al-Quran dalam kalangan
belia dan memupuk juga menyemai rasa persahabatan dalam kalangan peserta
belia melalui program keagamaan, di samping sebagai persediaan
pemilihan wakil negara ke Musabaqah Tilawatil Quran Belia Asia Tenggara
anjuran KKBS.