Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

08.06.2024 | Musabaqah Tilawatil Quran Belia Kebangsaan 1445H/2024M Peringkat Akhir

MTQBK2024 peringkat akhir p1 (1).pngMTQBK2024 peringkat akhir p2 (1).pngMTQBK2024 peringkat akhir p3.pngMTQBK2024 peringkat akhir p4.pngMTQBK2024 peringkat akhir p5.pngMTQBK2024 peringkat akhir p6.pngMTQBK2024 peringkat akhir p7.png

MTQBK2024 peringkat akhir p8.pngMTQBK2024 peringkat akhir p9.pngMTQBK2024 peringkat akhir p10.png

BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 29 Zulkaedah 1445H/6 Jun 2024M. – Musabaqah Tilawatil Quran Belia Kebangsaan anjuran Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) kelolaan Jabatan Belia dan Sukan (JBS) yang telah dilaksanakan sejak tahun 1980-an telah berjaya melahirkan banyak qari dan qariah belia yang berkaliber dan seterusnya mampu bersaing di peringkat yang lebih tinggi.

Di samping itu, ia juga berperanan sebagai wadah kepada qari dan qariah belia di negara ini untuk melihat keupayaan dan prestasi masing-masing khususnya dalam bidang pembacaan Al-Quran secara berlagu atau tarannum.

Sehubungan dengan itu, Musabaqah Tilawatil Quran Belia Kebangsaan 1445H/2024M Peringkat Akhir telah berlangsung di Dewan Digadong, Bangunan KKBS yang dihadiri oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Nazmi bin Haji Awang Mohamad, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan selaku tetamu kehormat majlis dan seterusnya menyempurnakan penyampaian hadiah-hadiah kepada para pemenang.

Seramai 10 peserta, iaitu lima qari dan lima qariah bertanding di peringkat akhir termasuk dua orang johan menunggu qari dan qariah Musabaqah Tilawatil Quran Belia Kebangsaan Tahun 2023 telah memperdengarkan bacaan masing-masing.

Aturcara majlis terlebih dahulu dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh Yang Mulia Awang Abdul Muaz'zam Azri bin Zulkifli, Pegawai i-Ready, Pusat Pembangunan Belia yang juga membacakan Doa Selamat di akhir majlis, diikuti dengan ucapan alu-aluan oleh Pegerusi Majlis, Yang Mulia Awang Haji Mohamad Rosfazilah bin Haji Yusly, Pemangku Pengarah Belia dan Sukan dan diselajurkan dengan ucapan oleh tetamu kehormat majlis.

Majlis turut menyaksikan persembahan tausyeh belia daripada Kumpulan Tausyeh Harakatul Adzkia, Belia Masjid Utama Md Salleh, Pekan Bangar, Temburong, dan diteruskan dengan pengumuman keputusan musabaqah yang disampaikan oleh Yang Mulia Pengiran Dr. Haji Amiruddin bin Pengiran Haji Damit selaku Pengerusi Jemaah Hakim Musabaqah Tilawatil Quran Belia Kebangsaan 1445H/2024M Peringkat Akhir.

Johan qari dan qariah masing-masing menerima piala pusingan; hadiah iringan; sijil penyertaan; wang tunai BND3,000.00; Akaun Al-Wadiah bernilai $500.00 sumbangan Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB) dan anak-anak syarikatnya, Insurans Islam TAIB Holdings Sdn. Bhd. dan Darussalam Holdings Sdn. Bhd.; Pakej Ziarah Istanbul Musim Sejuk (5 hari 4 malam) termasuk Tiket Penerbangan, Penginapan, Sarapan dan Pengangkutan sumbangan Balurih Travel Sdn. Bhd. Manakala naib johan qari dan qariah masing-masing menerima hadiah iringan; sijil penyertaan; wang tunai sejumlah BND2,000.00; Akaun Al-Wadiah bernilai $300.00 sumbangan Perbadanan TAIB dan anak-anak syarikatnya, Insurans Islam TAIB Holdings Sdn. Bhd. dan Darussalam Holdings Sdn. Bhd. Tempat ketiga qari dan qariah pula masing-masing menerima hadiah iringan; sijil penyertaan; wang tunai sejumlah BND1,000.00; Akaun Al-Wadiah bernilai $200.00 sumbangan Perbadanan TAIB dan anak-anak syarikatnya, Insurans Islam TAIB Holdings Sdn. Bhd. dan Darussalam Holdings Sdn. Bhd.

Sementara peserta qari dan qariah yang menerima hadiah saguhati membawa pulang hadiah iringan; sijil penyertaan; wang tunai BND500.00; dan Akaun Al-Wadiah bernilai $100.00 sumbangan Perbadanan TAIB dan anak-anak syarikatnya, Insurans Islam TAIB Holdings Sdn. Bhd. dan Darussalam Holdings Sdn. Bhd.

Turut hadir ialah Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohd Tashim bin Pengiran Haji Hassan, Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama; Setiausaha-Setiausaha Tetap dan Timbalan-Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama dan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan; Yang Mulia Mohammad Irfan bin Tajuddin, Ketua Pegawai Operasi Perbadanan TAIB selaku wakil Pengarah Urusan Perbadanan TAIB; Yang Mulia Haji Syed Muhammad Yassin bin Haji Syed Innayatullah, Ketua Pegawai Eksekutif Balurih Travel Sdn. Bhd.; serta pegawai-pegawai kanan kerajaan.

Pada tahun ini, seramai 121 peserta telah mendaftarkan diri bagi mengikuti Musabaqah Tilawatil Quran Belia Kebangsaan 1445H/2024M.

Antara tujuan musabaqah diadakan adalah bagi menjunjung titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam di Majlis Pertandingan Membaca Al-Qur'an Bahagian Dewasa Peringkat Kebangsaan bagi tahun 1996M pada 1 Jamadilakhir 1417H bersamaan 13 Oktober 1996M. Di antara lain titah Baginda:

“Hasrat kita yang tunggal ialah melihat generasi Al-Quran itu dikongsi sama oleh semua pihak dan golongan, terutama golongan belia. Kita akan merasa bangga dengan lahirnya belia-belia yang berwatak salih. Bahawa salah satu tanda kesalihan itu ialah terlibatnya mereka dengan Al-Quran samada keterlibatan itu selaku pembaca biasa, mahupun sekaligus menjadi penghayat dan pengamal ajaran-ajarannya".

Selain untuk menyediakan wadah bagi melahirkan qari dan qariah belia yang berpotensi tinggi sebagai pelapis qari dan qariah Negara Brunei Darussalam, ia juga untuk mempertingkatkan mutu pembacaan Al-Quran dalam kalangan belia serta memupuk dan menyemai rasa persahabatan dalam kalangan peserta belia melalui program keugamaan, di samping itu bagi persediaan pemilihan wakil negara ke Musabaqah Tilawatil Quran Belia Asia Tenggara anjuran Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.​

Attachments
Created at 6/8/2024 11:32 AM by Roslinawati Binti Jamaludin
Last modified at 6/8/2024 11:32 AM by Roslinawati Binti Jamaludin