Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Announcements

KKBS Pastikan PKBN Terus Relevan

DSC_2451.jpg

[Sumber: Pelita Brunei]

Berita: Hajah Siti Zuraihah Haji Awang Sulaiman - Penerangan 

Foto: Hajah Ajijah Ali - KKBS


TEMBURONG, Sabtu, 9 Disember 2017 - Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) bersama-sama dengan rakan-rakan strategik agensi-agensi kerajaan yang lain melalui Bahagian Khidmat Bakti Negara akan memastikan Program Khidmat Bakti Negara (PKBN) akan terus relevan dan berperanan dengan meningkatkan mutu latihan yang sedia ada, menentukan barisan jurulatih yang benar-benar berkesan dan terlatih, agar segala pelaburan yang dilaksanakan berbaloi dan pulangan berganda yang dapat mencapai kepada matlamat kementerian ini dan juga Wawasan Negara 2035.

Matlamat utama PKBN selaku salah satu dari Program Strategik Kebangsaan yang dikelolakan oleh KKBS ialah, untuk melahirkan generasi yang mempunyai kekuatan rohani dan jasmani, daya kepimpinan berkesan, semangat setia kawan dan patriotik serta berkeyakinan tinggi.

Ia juga dibentuk bagi melahirkan insan belia yang mengenali jati diri dan memiliki jiwa besar selain digerakkan bagi bergiat aktif dan cemerlang dalam keusahawanan, industri kreatif dan mencipta jiwa belia yang berbakti melalui kesukarelawan.

Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (Bersara) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yusof menekankan perkara tersebut di Majlis Pelancaran Program Khidmat Bakti Negara Pengambilan Ke-7 berlangsung di Kem Latihan, PKBN, Batu Apoi, di sini.

Yang Berhormat berkata, pelatih-pelatih di pengambilan ke-7 ini khususnya, dan belia-belia yang banyak berada di luar sana selaku belia dan beliawanis negara seharusnya menyedari mereka adalah satu golongan yang penting, yang tidak disisihkan dalam pembangunan dan pencapaian wawasan negara.

''Malah abiskita selaku belia harapan bangsa dan negara adalah satu golongan tersendiri yang memerlukan pendekatan yang juga tersendiri,'' ujar Yang Berhormat.

Ini tambah Yang Berhormat, memandangkan kepada tahap perkembangan dan kemampuan belia dalam mengharungi kehidupan yang memerlukan pendekatan tertentu iaitu pendekatan keyakinan dan keberkesanan.

Lantaran menyedari sumbangan dan kepentingan golongan ini ujar Yang Berhormat, maka Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam melalui KKBS akan menentukan PKBN ini akan terus menjadi program yang terunggul yang akan memberikan pengetahuan, kesedaran dan pendedahan yang sangat-sangat bermanfaat untuk pelatih-pelatih PKBN khususnya mempersiapkan mereka untuk mencurahkan khidmat bakti yang tulus dan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi kepada ugama, raja, bangsa dan negara tercinta sesuai dengan moto PKBN iaitu Bersedia, Berkhidmat dan Berbakti.

''Para belia selaku agen perubahan dan pembangunan juga harus menerima hakikat peranan dan sumbangan mereka dalam merancakkan lagi arus pembangunan negara dan peranan ilmu dan pengetahuan yang mereka perolehi dan manfaatkan.

Apakah mereka mampu mengembangkan lagi ilmu dan pengetahuan yang mereka miliki untuk kesejahteraan orang lain atau sekadar menjadi pengguna pasif dan pemerhati sahaja,'' tambah Yang Berhormat.

Menurut Yang Berhormat, KKBS berharap program 100 hari PKBN ini sama-sama berperanan menambahkan ilmu pelatih-pelatih dan bercambah sebagai alat pembangunan diri dan institusi serta negara.

Yang Berhormat seterusnya berkata, dengan latihan, pendedahan dan pengalaman tertentu, semua orang itu mampu menjadi pemimpin yang baik dan para belia dan pelatih-pelatih pengambilan yang ke-7 juga boleh menjadi pemimpin yang baik kepada rakan-rakan mereka sebagai pembimbing.


Attachments
Created at 12/11/2017 3:51 PM by Lee Chin Foo
Last modified at 12/11/2017 4:04 PM by Lee Chin Foo