Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Announcements

Manage PermissionsManage Permissions
BERGEMA DENGAN PUJIAN SELAWAT

DSC_5285.JPG

DSC_5201.JPG[Sumber: Pelita Brunei] 

Berita: Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi - Penerangan

Foto: Hj Mohd Norfaizal bin Hj Mat Salleh - KKBS

BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 2 Disember 2017 - Tanggal 12 Rabiulawal setentunya satu tarikh bersejarah dalam kalendar Tahun Hijrah bagi umat Islam sejagat termasuk Negara Brunei Darussalam memartabatkan hari kelahiran Junjungan Besar kita, Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam sebagai ikon Muslim yang memimpin ke arah kebahagiaan landasan yang sepatutnya dan yang betul.

Sudah menjadi kelaziman di negara ini, kedatangan hari kelahiran Baginda itu dan seterusnya menyemarakkan hari berkenaan dengan perarakan sambil pujian selawat dengan penuh keikhlasan demi mengharapkan ganjaran pahala dan bukti cinta kita dalam mengenang pengorbanan Baginda yang tidak terkira demi agama Islam dan umatnya.

Alhamdulillah dengan tampuk pemerintahan seorang raja di negara kita, acara keagamaan lagi berkebajikan ini tidak luput sejak dari dahulu lagi, dan ia lebih bermakna apabila Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat menyertai ribuan rakyat dan penduduk bagi Majlis Sambutan Maulud Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam Peringkat Negara bagi Tahun 1439 Hijrah.

Berangkat sama ke Taman Haji Sir Muda Omar 'Ali Saifuddien, di ibu negara di sini ialah paduka-paduka anakanda Kebawah Duli Yang Maha Mulia, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Wakeel.

Juga berangkat, padukapaduka adinda baginda, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah.

Keberangkatan Kebawah DYMM dijunjung oleh Yang Di-Pertua Adat Istiadat Negara, Yang Amat Mulia Pengiran Lela Cheteria Sahibun Najabah Pengiran Anak Haji Abdul Aziz bin Pengiran Jaya Negara Pengiran Haji Abu Bakar; Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Othman, selaku Pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Hari-Hari Kebesaran Islam Tahun 1439H, Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang Haji Abdul Mokti bin Haji Mohd. Daud serta Ahli-Ahli Jawatankuasa Tertinggi Sambutan yang lain.

Sejurus keberangkatan Kebawah DYMM, acara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai dipimpin oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned yang juga membacakan Doa Selamat.

Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama dalam sembah alu-aluannya antara lain menyembahkan setinggi menjunjung kasih atas keberangkatan Kebawah DYMM ke majlis perhimpunan ini di mana di bawah pimpinan bijaksana baginda, perhimpunan dan perarakan Maulud semakin meriah sambil mengukuhkan kecintaan terhadap Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam.

Keberangkatan bersama-sama rakyat dari 125 pasukan yang mewakili pelbagai kalangan juga jelas Yang Berhormat, merupakan sanjungan terhadap kepimpinan bijaksana baginda dalam hal ehwal keugamaan, di mana raja dan rakyat seperjalanan dalam satu landasan, iaitu memaju dan mengukuhkan syiar Islam sebagai ugama rasmi, menjadikannya amalan yang menyumbang kepada kehidupan bermasyarakat yang harmoni, berpemerintahan dan bernegara yang mantap bagi semua lapisan masyarakat dan penduduk.

''Dan ini adalah satu pembuktian bahawa kepimpinan beraja yang berkesan baik akan sentiasa mendapat taufik dan hidayah dengan negara dan rakyat mendapat berkatnya.

Antara keberkatan yang dapat dinikmati ialah, kukuhnya hubungan mahabbah dan muafakah di antara raja dan rakyat sebagai ganjaran mematuhi ajaran-Nya,'' ujarnya.

Tidak syak lagi, tambah Yang Berhormat, bahawa hasil dari ketaatan kepada Allah dengan bertaqwa mematuhi perintah dan larangan-Nya, menjadikan kita di negara ini dirahmati oleh Allah dengan berbagai keberkatan yang membawa kita sekalian berkehidupan yang baik dan sempurna dengan aman dan sentosa.

Sejurus selepas itu, Kebawah DYMM seterusnya berkenan berangkat menerima junjung ziarah daripada ketua-ketua pasukan yang mengambil bahagian pada upacara Sambutan Maulud Nabi tahun ini.

Dikir Marhaban dipersembahkan oleh pasukan dikir dari Jabatan Perdana Menteri dan sejurus ke perenggan 'Ya Habibi', tembakan mariam 21 das mula dilepaskan.

Sebelum perarakan dimulakan, Yang Berhormat Pehin Datu Imam Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Abdul Hamid bin Bakal mengepalai bacaan Selawat sebanyak tiga kali menandakan perarakan akan dimulakan.

Perarakan mengelilingi sebahagian ibu negara didahului oleh Kebawah DYMM berserta paduka-paduka anakanda dan adinda baginda diikuti oleh pembesar-pembesar negara.

Sebanyak 125 pasukan dengan keramaian 12,805 orang mengambil bahagian dalam perhimpunan, perarakan dan perbarisan pada tahun ini yang mempertandingkan empat kategori iaitu 30 pasukan bagi Kategori Sekolah Menengah / Arab / Institusi Pengajian Tinggi / Maktab / Swasta; 16 pasukan Kategori Kementerian dan Jabatan-Jabatan Kerajaan; 26 pasukan bagi Kategori Persatuan-Persatuan dan Sektor Swasta serta 29 pasukan bagi Kategori Kampung dan Masjid.

Attachments
Created at 12/5/2017 11:26 AM by Lee Chin Foo
Last modified at 12/5/2017 11:26 AM by Lee Chin Foo