Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Announcements

Manuskrip Melayu Warisan Tamadun Bangsa

​[Sumber: Pelita Brunei]

Berita: Hajah Siti Zuraihah Haji Awang Sulaiman - Penerangan

Foto: Hajah Ajijah Ali - KKBS

 

BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 27 November 2017 – Pengkajian dan penulisan sejarah Borneo adalah sangat penting dan amat diperlukan, bukan sahaja untuk pengembangan ilmu pengetahuan sejarah, malah sumbangannya dalam menyelamatkan khazanah sejarah dan warisan masyarakat Borneo yang masih banyak tersimpan dan belum dikaji, sama ada dalam bentuk lisan mahupun tulisan khususnya 'manuskrip Melayu'.

 

Justeru itu, Seminar Kajian Manuskrip Borneo sudah setentunya akan mendekatkan dan membarigakan sejarah Borneo kepada masyarakat Borneo, khususnya  generasi belia untuk membuat kajian dan penulisan mengenai sejarah Borneo yang masih kekurangan dan kurang lengkap dewasa ini.

 

Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof, menyatakan perkara tersebut semasa merasmikan Seminar Kajian Manuskrip Borneo 2017, berlangsung di Dewan Jawatan Dalam, Pusat Sejarah Brunei (PSB), di sini.

 

Menurut Yang Berhormat, Manuskrip Melayu ialah artifak yang sangat bernilai dan terpenting sebagai warisan tamadun bangsa yang amat berharga, di mana ia merupakan hasil karya penulisan tangan berskrip Jawi dengan menggunakan versi Melayu yang dihasilkan sekitar abad ke-16 hingga abad ke-19.

 

Negara-negara luar seperti di Eropah jelasnya, banyak menyimpan hasil khazanah dan sejarah negara termasuk manuskrip Melayu negeri-negeri dan wilayah di Kepulauan Borneo di beberapa tempat seperti The British Library, London dan University of Leiden, Belanda serta perpustakaan awam, arkib dan pusat-pusat pengajian tinggi yang lain di Eropah.

 

Disebabkan itu tambah Yang Berhormat, para pengkaji dan penyelidik sejarah serta peradaban Melayu terpaksa pergi ke Eropah apabila ingin membuat kajian, namun kos yang tinggi menyebabkan ramai yang tawar hati atau tidak berminat untuk meneruskan penyelidikan.

 

Sehubungan itu, Yang Berhormat menegaskan usaha-usaha lebih agresif perlu dibuat untuk mengenal pasti serta mengesan taburan manuskrip Melayu di seluruh dunia untuk dihimpunkan semula di negara ini.

 

Dalam hal ini, negeri-negeri dan wilayah di Kepulauan Borneo seperti Brunei, Sabah, Sarawak dan Kalimantan dan sekeliling termasuk Wilayah Persekutuan Labuan juga giat mengkaji, menyimpan dan berusaha menjaga serta mengumpul manuskrip Melayu lama, untuk memudahkan para pengkaji dan pelajar melakukan penyelidikan dan pengkajian tentang falsafah, sejarah, keagamaan, perubatan, kesusasteraan, kesenian dan jati diri bangsa Melayu pada masa silam.

 

''Saya percaya ada yang sudah dikaji dan dinilai isinya tetapi mungkin masih banyak lagi manuskrip Melayu lama yang belum diselidiki,'' ujar Yang Berhormat.

 

Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan jelas Yang Berhormat, menyambut baik usaha PSB menganjurkan seminar ini sebagai inisiatif untuk memperkenalkan Pusat Pengkajian Borneo sebagai pusat sumber dan pengkajian sejarah khususnya yang bersangkutan dengan sejarah Borneo.

 

''Di sinilah peranan PSB dan institusi-institusi lain yang relevan untuk menyelamatkan khazanah sejarah dan warisan bangsa daripada lenyap begitu sahaja tanpa usaha yang lebih komprehensif dilakukan ke atasnya,'' terang Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan.


Attachments
Created at 11/28/2017 4:01 PM by Lee Chin Foo
Last modified at 11/29/2017 10:55 AM by Lee Chin Foo